KETUA Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyangkal dakwaan pemimpin politik tertentu bahawa Kerajaan Negeri tidak stabil.
Menurutnya, sokongan wakil rakyat kepada Kerajaan Negeri semakin meningkat dan hampir mencecah 50 orang dan lebih separuh daripada Adun di Sabah.
Tegasnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semakin stabil.
“Ini dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri mendapat sokongan 44 Adun ketika ada usaha untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang sebelum ini,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dan Adun Apas berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kursus Asas Kepimpinan Wanita Akar Umbi dan Pemimpin Politik di Tawau pada 9 Mei lalu. Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Dr Tarsiah TZ Taman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas M Azriansyah Ali.
Mengulas lanjut, Nizam berkata Kerajaan Negeri tidak akan melayan pemimpin politik yang hanya mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat dan hanya mahu terus fokus membangunkan Sabah dan memperbaiki segala kekurangan.
Beliau berkata, Kerajaan telah menunjukkan kebolehannya dalam memimpin Negeri dengan baik dan banyak lagi agenda telah dirancang agar Sabah terus membangun.
“Saya ingin menasihatkan pemimpin politik di negeri ini supaya tidak terlalu bermain politik sehingga lupa tanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.
Mengenai program itu, Nizam berkata kursus yang disertai hampir 100 wanita dari Tawau, Kalabakan, Lahad Datu, Semporna, dan Sandakan itu amat bermanfaat kerana dapat memberi pengetahuan kepada wanita tentang peranan mereka.
Beliau berkata, Kerajaan mengiktiraf wanita kerana mereka turut membantu dan memainkan peranan dalam pembangunan negara.
Justeru, beliau menggesa wanita bergerak aktif bersama kepimpinan dan kerajaan sedia ada kerana pandangan mereka amat diperlukan dalam membangunkan negara.
“Kami mahu orang di luar sana berfikir bahawa wanita di negara ini adalah profesional yang mampu menjadi pemimpin politik yang dihormati,” katanya.