PENAMPANG: Semua pengerusi Jawatan-kuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan Moyog yang baru dilantik, diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memberi fokus kepada perkhidmatan dan pembangunan di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata berkata, ini penting bagi memastikan keperluan pembangunan di setiap kampung dapat diberi perhatian sewajarnya.
“Sebelum ini terutamanya semasa pilihan raya, ada diantara kita yang berbeza pendapat dan pandangan, namun pilihan raya sudah berlalu dan kini tumpuan kita adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Sekarang bukan masa untuk kita mempertikaikan siapa yang menjadi pengerusi JPKK tetapi lebih penting berusaha membawa lebih banyak pembangunan di sini.
“Oleh itu, saya berharap semua Pengerusi JPKK yang menerima watikah pelantikan ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Moyog, di Dewan Huguan Siou Kg Tuavon Penampang, di sini, Sabtu.
Ewon berkata, pelantikan JPKK adalah berdasarkan cadangan setiap parti yang menyokong kerajaan negeri.
“Oleh itu saya berharap setiap JPKK dapat memberi kerjasama dengan jabatan-jabatan dan agensi kerajaan bagi memudahkan pelaksanaan program-program kerajaan khususnya di kawasan kampung.
“Kita harus menjadi satu pasukan Penampang yang kukuh dan bersatupadu agar dapat mengurus pembangunan di Penampang dengan baik seterusnya memastikan setiap pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kalau kita sentiasa ‘bergaduh’ tanpa kerjasama dan persefahaman, kampung kita sendiri yang rugi kerana keperluan dan pembangunan kampung tidak dapat diberi perhatian,” katanya.
Berhubung Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Pembangunan Sabah (IDS), Ewon mahu JPKK setiap kampung untuk memberikan input kepada IDS mengenai keperluan pembangunan di kampung mereka.
“Pelan Pembangunan Penampang yang lebih tersusun dan menyeluruh akan memudahkan kita mencari peruntukan, dan tanggungjawab wakil rakyat ialah mencari dan mengejar peruntukan bagi setiap isu pembangunan yang dikemukakan penduduk Penampang.
“Masalah itu tidak akan selesai selagi tiada peruntukan. Oleh itu bagi mempercepatkan penyediaan peruntukan, Pelan Pembangunan Penampang antara inisiatif kita untuk mempercepatkan pelaksanaan,” katanya.
Ewon berkata, selain memberi fokus kepada perkhidmatan dan pembangunan, pengerusi JPKK juga berperanan sebagai “mata dan telinga” kerajaan bagi memastikan keselamatan kampung sentiasa terjamin.
“Sekiranya ada warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) di kampung-kampung sehingga menimbulkan risiko keselamatan, pengerusi JPKK harus bertindak pantas melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 61 pengerusi JPKK kawasan Moyog.
Turut hadir Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Hj Ibrahim, Setiausaha Politik YBM, Carl Moosom dan pemimpin masyarakat.