Kota Kinabalu: Kontinjen Zon Pedalaman Atas mengungguli Temasya Sukan MUJAS dan Kesenian Islam dengan mengumpul enam emas sekaligus menjuarai kejohanan sukan bagi jabatan dan agensi agama di Sabah.
Sebanyak 18 acara dipertandingkan dan pingat emas kontinjen itu disumbangkan melalui acara memanah lelaki/wanita, bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan juara pertandingan nasyid (Kesenian Islam).
Kontinjen itu turut meraih tiga perak serta empat gangsa masing-masing bagi acara badminton, bola tampar (lelaki) dan ping pong serta bola tampar (wanita), nasyid (lelaki), pertandingan kompang dan pantun.
Sebanyak 10 kontinjen menyertai temasya itu iaitu Pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) di semua zon termasuk Pejabat Baitul Mal dan Mufti Sabah.
Temasya yang berlangsung selama enam hari bermula Isnin lepas dirasmikan penutupannya oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam di Padang Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Ruslan dalam ucapannya menyambut baik penganjuran temasya itu kerana selain membina hubungan baik, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara warga jabatan kerajaan.
Katanya, aspek itu juga sebagai wadah memperkasakan lagi mutu perkhidmatan semua penjawat awam terlibat, sekaligus melahirkan gerak kerja lebih produktif.
“Saya yakin semangat juang dan berpasukan yang tinggi ini sentiasa diadaptasikan dalam organisasi masing-masing, sekaligus menonjolkan penyampaian mutu kerja berdedikasi serta berintegriti,” katanya.
Hadir sama Pengarah Jheains, Datuk Saifulzaman Sangul; Setiausaha MUIS, Ramlan Ag Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitul Mal Negeri Sabah, Dr. Awang Faisal Assyiffa Ag Rahim.