LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot yang disyaki melanggar syarat lesen menangkap ikan pada Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda APMM mengesan sebuah bot menangkap ikan di sekitar 0.6 batu nautika utara Kunak Tiga, kira-kira jam 4.20 petang.
Katanya, selepas diperiksa, juragan mengeluarkan lesen bot dan dokumen pengenalan diri yang sah serta dokumen anak kapalnya.
“Juragan bot tempatan bersama anak kapalnya berusia 29 dan 57 tahun ditahan dan bot berkenaan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan kesalahan dengan melakukan aktiviti menangkap ikan dalam jarak kurang 1.5 batu nautika dari daratan,” katanya.
Sambil berkata Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa, Nik Mohd Rizam menambah usaha itu bagi mengelak pencerobohan bot nelayan asing ke perairan Sabah.