Tuaran: Kempen Hari Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang merupakan platform terbaik bagi menghayati nilai patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata tema Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan adalah tepat berikutan perpaduan kaum dan toleransi menjadi tonggak dalam memelihara kemerdekaan negara.
Katanya, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan perlu terus dipupuk serta dilindungi kerana ia adalah cara untuk mencapai progresif pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik.
“Saya menyeru semua rakyat supaya sentiasa bersatu melindungi serta mengukuhkan perpaduan di negara kita”.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat memastikan kemakmuran dan kemajuan agar sentiasa dinikmati dan tidak diganggu oleh anasir negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Merdeka Jalur Gemilang di Astaka Padang Tuaran di sini, Ahad.
Selain itu, katanya, usaha kerajaan negeri merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya turut memerlukan sokongan padu daripada semua pihak.
“Dalam konteks ini iaitu hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat di semua peringkat mampu menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” ujarnya.
Hajiji menambah, selaras pada Bulan Kebangsaan ini, semua rakyat digesa supaya mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang atau mengantikan bendera yang usang.
“Saya menyeru rakyat di seluruh Sabah supaya mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang serta menggantikan bendera usang dengan yang baharu di premis masing-masing.
“Rakyat perlu berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang terutama ketika kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang kerana ia adalah masa terbaik menghayati semangat patriotisme serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Oleh itu marilah kita bersama-sama menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat supaya mereka memandang tinggi dan hormatilah Jalur Gemilang sebagai lambang dan identiti bangsa ini,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata usaha kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya memerlukan sokongan padu daripada semua.
“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan di kalangan rakyat di semua peringkat diperlukan dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.
Terdahulu, beliau melancarkan Konvoi Kembara sebanyak 17 kenderaan daripada lapan agensi awam dan swasta melibatkan 66 peserta.
Daerah Tuaran yang diwakili 100 peserta membabitkan 25 kenderaan menuju ke Kiulu, Tamparuli dan seterusnya ke daerah Kudat.
Manakala konvoi anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen) iakan menempuh jarak sejauh 2,300 kilometer membabitkan kawasan seluruh Sabah sehingga 31 Ogos ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai; Pegawai Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Jasnih Daya dan Ahli Parlimen Tuaran merangkap Pengerusi SESB Datuk Wilfred Madius Tangau.