FILEM aksi Walid yang menjadi sebutan di luar negara wajar mendapat sokongan padu oleh para peminat layar perak di negara ini, kata Penasihat Tertinggi Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Liew Yun Fah.
Menurutnya, filem yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa iaitu Amerika Syarikat itu, membuktikan bahawa naskah tempatan tersebut berkualiti.
Justeru, apabila dimaklumkan hasrat untuk mengadakan promosi di Sabah, beliau berbesar hati mempelawa pengarah, pelakon dan produksi filem itu untuk menjadikan Tawau sebagai destinasi jerayawara pertama mereka di negeri ini.
“Filem ini yang turut mengangkat nilai budaya silat dalam masyarakat kita menjadi antara keutamaan saya untuk menyokong kehadiran mereka ke Tawau,” katanya.
Tambahnya, filem Malaysia yang berkualiti wajar disokong, apatah lagi Walid memaparkan mesej penting iaitu isu pemerdagangan manusia, pendatang asing dan orang tanpa warganegara.
“Isu yang diterapkan dalam Walid cukup dekat serta memberi pengajaran baik kepada masyarakat,” katanya.
Liew menaja penginapan dan pengangkutan produksi filem itu serta lebih 150 tiket wayang Walid yang diedarkan kepada orang ramai, termasuk penggiat seni dan silat di Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
Rombongan pengarah, pelakon dan kru Walid tiba di Tawau pada Ahad, dalam rangka promosi jerayawara di Sabah yang dijangka berlangsung sehingga 30 September depan.
Sementara itu, pengarah filem, Areel Abu Bakar ketika ditemui menyatakan terima kasih di atas sokongan Liew terhadap Walid.
Selain beliau, pelakon utama iaitu Megat Shahrizal dan Putri Qaseh turut hadir sama sepanjang promosi Walid di Sabah.
Selepas Tawau, mereka akan ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu sebelum kembali semula ke Tawau bagi mengakhiri ‘tour’ di Sabah.