Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Victor Sanjos pada Rabu yang memberi taklimat kepadanya mengenai situasi keselamatan terkini di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).
Ia merupakan kunjungan hormat pertama Victor kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu sejak dilantik sebagai Komander Esscom pada Jun tahun ini.
Ketua Menteri juga dimaklumkan mengenai pelbagai program komuniti yang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti Esszone.
Turut serta dalam rombongan Esscom ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Esscom ialah pihak berkuasa penguatkuasaan utama untuk Esszone, zon keselamatan yang dilancarkan oleh Kerajaan pada 25 Mac 2013, berikutan serangan berterusan oleh lanun dan militan dari selatan Filipina yang berlaku di bahagian timur Sabah terutamanya selepas pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.
Ia termasuk daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau (termasuk Kalabakan), yang berjiran dengan Filipina.
Hajiji turut menerima maklumat terkini mengenai keadaan maritim negeri semasa pertemuan dengan Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik pada hari yang sama.
Delegasi Maritim Sabah termasuk Timbalan Pengarah (Operasi) Kapten Maritim Mahmad Faizal Ahmad dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Siti Norhaini Osli.