LAHAD DATU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi lelaki yang disyaki bersubahat dengan anggota penguatkuasa berkaitan pengeluaran lesen memandu haram atau ‘lesen terbang’.
Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu yang dipercayai orang tengah dalam kes rasuah RM300,000 itu, ditahan SPRM kira-kira jam 4 petang Selasa apabila dipanggil untuk memberikan keterangan di pejabat SPRM Lahad Datu.
Suspek, seorang warga asing, dipercayai melakukan kesalahan itu antara 2021 dan 2022.
Dia juga disyaki memberi rasuah kepada penguatkuasa untuk mengeluarkan lesen kepada calon tanpa menjalani ujian memandu.
“Modus operandi ‘orang tengah’ ini adalah meminta rasuah antara RM400 dan RM1,200 daripada calon, yang kemudiannya diserahkan kepada penguatkuasa,” kata sumber itu.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. SPRM memohon perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Lahad Datu, pada Rabu.
Majistret Ryan Sagiran Rayner Junior telah mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula Rabu hingga 29 November.
Pada Selasa, SPRM menahan empat pegawai penguatkuasa kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada calon dan ejen lesen memandu.
Kesemua suspek berusia 30-an itu ditahan pada pukul 4 petang Ahad apabila diminta hadir ke pejabat SPRM Sabah untuk memberi keterangan.