PUTATAN: Warga Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) perlu terus membantu kerajaan merancakkan semula ekonomi negara melalui rangkaian ‘business circle’ yang dimiliki ahli dan cawangan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut beliau, selain aktiviti kemasyarakatan dan dakwah, Usia turut membantu dalam perkembangan rantaian ekonomi negara melalui aktiviti jualan runcit, mewujudkan koperasi dan beberapa cabang keusahawanan yang lain.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha Usia melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk dakwah, kemasyarakatan dan program keusahawanan, sekaligus membantu menyatupadukan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Usia Ke-37, Tahun 2022 di Dewan Utama Hotel Pan Borneo, di sini, Jumaat lepas.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya.
Hajiji berkata Usia perlu menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada untuk membantu ahli khususnya menarik golongan muda dalam meningkatkan kemahiran diri yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Menurutnya, golongan muda belia dan puteri selaku pelapis pemimpin masa hadapan perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran teknikal, terutama ilmu agama yang menjadi penerus kepada kelangsungan gerakan dakwah dan tarbiyyah di negeri dan negara ini.
Katanya, Usia ditubuhkan bertunjangkan kepada penyatuan ummah melalui semangat persaudaraan dalam sebuah keluarga yang besar, mampu membugar kembali peranan dan fungsi utama.
Pada masa sama, katanya, mengaktifkan aktiviti menyantuni golongan asnaf dan mualaf seperti ziarah dan sentuhan kasih, serta program berteraskan semangat kekeluargaan untuk merapatkan ukhuwah silaturrahim dalam kalangan ahli dan masyarakat.
Hajiji yakin dengan kekuatan ahli mencakupi semua daerah di Sabah, Usia bukan setakat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam tertua di Sabah, malah sebagai pertubuhan terbesar dengan peranan utamanya memperkasa dan mempelbagai aktiviti dakwah.
“Semoga Usia terus komited melaksanakan transformasi bagi mencapai visi dan misi memperkasa kegemilangannya dari segi sistem pengurusan dan pentadbiran, meliputi pembangunan ekonomi, penjanaan pendapatan, pembangunan sumber manusia dan pendidikan”, tambahnya.