TAWAU: Penganjuran Hap Seng Group (HSG) Explore 2.0 Camp - Sabah LEAD Convention 2023 dilihat mampu membentuk kepimpinan dan sahsiah diri golongan belia di negeri ini secara berterusan.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, program itu memberi peluang kepada generasi muda negeri ini memperkukuhkan kemahiran kepimpinan, kreativiti, dan komunikasi melalui pelbagai modul serta aktiviti secara fizikal dan dalam talian.
Justeru, beliau memuji inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak HSG tersebut kerana impak program itu amat penting dalam membimbing dan membentuk kepimpinan generasi muda menjadi pemimpin cemerlang.
“Saya amat teruja melihat semangat dan komitmen para pelajar yang terlibat dalam program ini,” katanya ketika hadir merasmikan kem dua hari bermula 16 hingga 17 Disember di Kompleks Sukan Bandar Sri Indah (BSI) di sini, pada Ahad.
Kem yang disertai lebih 300 pelajar, guru dan ibu bapa itu, turut dihadiri Ketua Jabatan CSR Hap Seng Group, Amidah Abidin.
Terdahulu, dalam ucapannya, Amidah menyatakan HSG komited untuk terus melabur dalam pendidikan bagi pembangunan negeri Sabah.
Katanya, kejayaan penganjuran program berkenaan adalah hasil kerjasama kukuh antara pelajar, ibu bapa, guru, dan rakan-rakan daripada MAD Movement Sdn Bhd.
Menurutnya, program tersebut turut dihadiri peserta Explore Camp yang menyertai Konvensyen Sabah LEAD, yang akan menyaksikan kemuncak pelbagai projek yang sudah dilaksanakan para pelajar sepanjang program.
Untuk rekod, Konvensyen Sabah LEAD 2023 merupakan acara kemuncak bagi Program HSG Explore 2.0 dan acara tahunan yang didedikasikan untuk pembangunan sahsiah diri dan kepimpinan dalam kalangan pelajar di Sabah.
Program itu menyediakan platform untuk pelajar mempamerkan projek Make A Difference (M.A.D Project) dan kemahiran menyelesaikan masalah komuniti mereka.