RAPOT Sanggong (RS) adalah kumpulan pemuzik anak-anak muda dari Kudat yang menggunakan peralatan muzik etnik dan tradisional dalam persembahan mereka.
Alat muzik yang benar-benar mahu mereka pertahankan adalah Sundatang.
Sundatang secara asasnya adalah sejenis alat muzik menggunakan string atau tali dengan bentuknya sedikit menyerupai gitar. Ia juga dimainkan seperti gitar iaitu memetik talinya. Sundatang dari Kudat mempunyai bentuk berbeza.
Rumpun keluarga Sundatang juga boleh dikatakan adalah ‘Sape’ di Sarawak .
KEUNIKAN alunan Sundatang menjadi satu kebanggaan bagi kaum Rungus di Kudat.
Aktivis muzik etnik Rungus, Razif Ajip berkata, mereka mahu pastikan alat muzik Sundatang etnik Rungus terus dipelihara, diguna dan dimainkan bukan sahaja dalam persembahan kebudayaan tetapi diterima dalam semua persembahan dan majlis rasmi.
Razif yang menganggotai Kumpulan Rapot Sanggong berkata, Sundatang akan menjadi ‘muzik yang hilang’ jika tiada usaha untuk mengajar dan mewariskannya kepada golongan muda yang meminati muzik.
“Kerancakan muzik pop dan moden dalam semua arus hiburan akan melenyapkan muzik etnik ini jika tiada usaha untuk memuliharanya. Ia adalah sebahagian daripada adat orang asal Sabah.
Razif
“Saya tidak nafikan memang ramai tidak tahu apa alat muzik dan irama yang dihasilkan muzik Sundatang. Apatah lagi muzik kaum Rungus yang menggunakan alat muzik Sundatang,” katanya kepada Harian Ekspres baru-baru ini.
Berita baiknya adalah bagi etnik Rungus, masih ada beberapa golongan tua yang mahir memainkan alat muzik ini, walaupun golongan muda ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan alat muzik Sundatang ini.
Razif sedih selain dirinya, golongan muda yang mahir bermain alat muzik tradisional adalah tidak ramai dan setakat pengetahuannya, belum ada lagi golongan muda yang betul-betul mahir bermain Sundatang.
Menyentuh sedikit kisah di sebalik kewujudan Sundatang, menurut Razif Sundatang lahir di kalangan kaum Rungus dan menjadi alat muzik yang digunakan untuk mengiringi acara-acara kebudayaan tradisional itu dari dahulu sehinggalah sekarang.
“Menurut cerita dari guru Sundatang saya iaitu Aki Mongintal dari Kampung Parapat Darat Matunggong, Sundatang bermula daripada sekumpulan orang Rungus yang menebang pokok-pokok kayu di hutan untuk membuka ladang padi bukit.
Mc Feddy bersama Sundatang.
“Sebatang pokok kayu yang tinggi yang dikenali sebagai pokok ‘Korumanggalang’ dalam bahasa Rungus dililit dari bawah hingga ke atas oleh sejenis tumbuhan menjalar. Apabila kayu itu ditebang, tumbuhan menjalar yang melilit pokok Korumanggalang itu menjadi tegang dan tergantung tanpa menyentuh tanah,” katanya.
Tumbuhan menjalar itu dikatakan menjadi tegang dan mengalunkan irama merdu apabila ditiup angin. Orang kampung yang melihat kejadian itu mendapat ilham untuk membuat alat muzik yang menghasilkan bunyi seperti dalam kejadian yang mereka saksikan.
Mereka mula meregangkan tali di antara hujung sebatang kayu ke hujung kayu dan apabila siap ia betul-betul menghasilkan sesuatu bunyi yang menarik untuk didengar.
Dengan bantuan daripada Bobolian, orang pada masa itu bertanya kepada Osundu iaitu semangat tempat rujukan kehidupan orang Rungus pada masa itu.
Osundu memberitahu cara-cara membuat alat muzik yang menghasilkan bunyi yang cantik dan merdu. Dengan bantuan Osundu itu, terciptalah sebuah Sundatang yang mengeluarkan bunyi yang indah.
Katanya, keaslian dan ‘kesaktian’ Sundatang teruji apabila seorang hantu bernama ‘bubuha’ mencabar seorang pahlawan bertanding bermain muzik.
Kononnya hantu ‘bubuha’ itu berjanji untuk tidak lagi mengganggu manusia jika ia kalah dalam peraduan bermain membunyikan irama Sundatang yang indah.
Dipendekkan cerita, ‘bubuha’ dikatakan kalah kerana ada satu irama petikan Sundatang yang dimainkan oleh si pahlawan yang si hantu tidak dapat tiru atau mainkan.
Ia adalah irama yang digelar sebagai ‘mongolowodit’.
Sambil ketawa Razif berkata, Sundatang juga digunakan oleh golongan muda dahulu kala untuk ‘mengurat’ gadis-gadis yang mereka suka.
Mereka bermain Sundatang di hujung rumah panjang untuk menarik perhatian mereka.
“Ini adalah dua kisah mengenai Sundatang. Kita boleh lihat betapa pentingnya alat muzik ini sehingga ia mempunyai mitos yang masih dipegang oleh orang-orang tua Rungus.
Tanpa diragui, Sundatang adalah alat muzik yang unik dan perlu dipertahankan supaya tidak lenyap,” kata Razif.
Menurut pemuda berbakat ini, keunikan alunan Sundatang menjadi satu kebanggaan bagi kaum Rungus di Kudat. Namun Sundatang sebenarnya tidak eksklusif kepada kaum Rungus kerana daerah lain di Sabah juga ada alat muzik Sundatang mereka tersendiri.
“Sebab itu saya mahu mempertingkatkan pengetahuan bersungguh-sungguh tentang ilmu Sundatang ini dan membawa Sundatang di mana-mana sahaja untuk dimain serta dinikmati dalam festival muzik,” kata Razif menambah satu lagi kumpulan Tuni Sundatang pun mahu berjuang demi untuk Sundatang.
Seorang lagi aktivis muzik etnik Mc Feddy Simon yang mewakili Tuni Sundatang berkata, Sundatang seusia dengan kewujudan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus tetapi tidak semaju penggunaannya dengan alat-alat muzik moden seperti gitar dan biola.
Aktivis ini juga mahu membawa Sundatang ke peringkat di mana semua orang boleh mendengar dan menikmati muzik unik yang dibawanya kerana menurutnya,
Sundatang benar-benar berada di zon merah iaitu hampir pupus.
“Kalaulah ada peluang, kami sebagai pemuzik dan aktivis mahu bawa Sundatang ke arus perdana hiburan hingga semua orang KDMR bangga kerana mempunyai alat muzik tradisi sendiri,” katanya.
Rapot dan Tuni Sundatang sama-sama berjuang untuk memperkenalkan alat muzik ini ke persada seni utama walaupun mereka datang daripada daerah berbeza.
Pertemuan kumpulan ini setiap kali ada festival muzik dimanfaatkan dengan saling menyokong di antara satu dengan yang lain.
Kata, Mc Feddy, Tuni membawa alunan muzik lebih kepada irama Dusunik. Cara main pun berbeza. Beza Sundatang Dusun dan Rungus ialah Dusun bermain Sundatang dengan memetiknya seperti gitar manakala Rungus main dengan hanya jari kelingking.
Dari segi bentuk dan kedudukan fret dan cara main juga berbeza.
Namun Sundatang adalah alat muzik yang mempunya persamaan yang digunakan oleh kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) dalam semua keramaian.
Apa yang mengejutkan Mc Feddy ialah ramai menyangka Sundatang adalah alat muzik baharu. Ini membuktikan Sundatang ini benar-benar hampir mati kerana orang lama pun ramai tidak kenal dengan muzik instrumen ini.
Mc Feddy bersama beberapa pemuzik dan aktivis termasuk Rapot Sanggong menubuhkan kumpulan di mana mereka sentiasa berbincang cara untuk memperkenalkan Sundatang. Ini termasuk perancangan menubuhkan kelas-kelas belajar alat muzik ini tradisional.
Keunikan Sundatang katanya, terletak pada bentuk dan cara bermain yang berbeza berbanding alat-alat muzik lain.
Malah alat ini sebenarnya mudah untuk dipelajari kerana ia hanya mempunyai dua atau tiga tali.
‘Sape’ di Sarawak sudah mula menjadi simbol antarabangsa dan menjadi tarikan pelancong untuk datang mempelajari alat tradisi mereka di sana dan Sundatang juga sebenarnya mempunyai potensi yang sama.
Antara usaha aktivis muzik Sabah yang sudah dilakukan dan akan diperhebatkan lagi ialah membuat perkongsian dan pameran tentang Sundatang sehingga ke Sarawak, Kuala Lumpur dan Kalimantan seperti dalam Festival Muzik Rimba Dunia dan Festival Muzik Jazz Borneo di Miri pada tahun lalu.
Festival muzik rimba Borneo, pertandingan kugiran dan acara rasmi kerajaan juga adalah antara peluang yang digunakan untuk mempromosi dan memartabat alat muzik ini.
Mereka berharap promosi kegiatan seni dengan menyertai festival anjuran NGO dan kerajaan akan membantu memperkenalkan Sundatang kepada orang ramai.