Tuaran: Ibu pejabat baharu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dibangunkan semula di tapak Wisma SESB sekarang, kata Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
“Wisma SESB adalah bangunan lama – berusia lebih 40 tahun,” katanya selepas merasmikan Projek Bantuan Mesra Rakyat (BMR) SESB peringkat Tuaran, di Kampung Panjut, di sini, Khamis.
“Bangunan ini, sama seperti bangunan lain yang sama usia, ditambah lagi dengan pasir laut sebagai salah satu bahan binaannya, berada dalam keadaan tidak selamat – malah beberapa papak telah jatuh.
“Kami tidak pun dapat melakukan pendawaian semula kerana ia sukar. Kami telah mencapai tahap di mana bangunan itu diisytiharkan tidak selamat.”Sehubungan itu, beliau berkata lembaga pengarah SESB telah memutuskan untuk memindahkan pejabat firma itu ke lokasi lain buat sementara waktu.
Bagaimanapun, Madius tidak menghurai lanjut tentang lokasi baharu pejabat firma utiliti itu.
Beliau berkata pejabat interim ini perlu disediakan sebelum kakitangan SESB boleh berpindah.
“Dalam situasi mencabar ini, kebanyakan kakitangan yang bekerja di Wisma SESB kini bekerja dari luar pejabat. Malah sekarang, mereka tidak selesa bekerja di pejabat sedia ada.
“Saya percaya semua kakitangan SESB tidak sabar-sabar untuk berpindah ke ruang yang lebih selesa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata pembangunan semula pejabat baharu firma itu di tapak sekarang ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Terdahulu, dalam satu kenyataan, SESB berkata ia akan memindahkan ibu pejabatnya dari Wisma SESB yang ikonik. Wisma SESB, berdiri di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu juga telah banyak menyaksikan pelbagai peristiwa perkembangan industri bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dibina pada tahun 1976 dengan gaya senibina yang mencerminkan kegemilangan zaman itu, bangunan ini menjadi simbol kemajuan teknologi pada waktu tersebut.
Bangunan 10 tingkat itu menempatkan pejabat SESB dan pernah menjadi lokasi tempat remaja di sekitar Kota Kinabalu berkumpul pada hujung minggu di penghujung tahun 80-an untuk bermain sukan skating.
Bangunan itu juga menempatkan penthouse di tingkat 10 yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pejabat tokoh-tokoh politik negeri Sabah dan kini digunakan sebagai pejabat Pengerusi SESB.
Wisma SESB adalah antara bangunan-bangunan yang lama dibina di sekitar Kota Kinabalu seperti Wisma Muis, Wisma Dang Bandang, Wisma Merdeka, Bangunan Pejabat Pos, Bangunan Kuwasa, Bangunan Tun Fuad dan Bangunan Pejabat Persekutuan.
Dewannya juga telah menyaksikan banyak majlis penting, termasuk majlis perkahwinan.
“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menangani penuaan Wisma SESB, termasuk merancang penstrukturan dalaman yang lebih moden dan kondusif untuk terus berfungsi sebagai pusat inovasi dalam industri elektrik.
“Kerjasama dengan pakar teknologi tempatan dan penyelesaian inovatif seperti penggunaan ruang yang lebih baik turut menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan bangunan ini.
Namun, usaha menyeluruh dalam pemuliharaan struktur bangunan ini secara berkala agar terus memberi manfaat kepada rakyat Sabah, tidak dapat diteruskan berikutan usianya yang semakin uzur.
Selain itu, kekurangan ruang untuk menampung kemudahan moden dan berkualiti juga menjadi kekangan kepada usaha memperbaharui atau memodenkan bangunan,” menurut kenyataan itu.