Tuaran: Malaysia yang diinginkan semasa pembentukannya berbeza daripada apa yang ada sekarang, kata bekas Ketua Menteri Tan Sri Bernard Dompok.
“Ingat, Upkolah yang membangkitkan sebab-sebab pembentukan Malaysia, dan apakah harapan rakyat ketika itu?” kata Dompok pada perhimpunan perpaduan kepimpinan Upko, di sini.
“Pertama, kita mahu membentuk sebuah negara sekular...tetapi mungkin ini tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan, jadi mereka mencari versi yang berbeza.
“Mereka mahukan Malaysia yang tidak dicita-citakan oleh pemimpin awal negara.”
Dompok yang juga Presiden Majlis Penasihat Upko berkata parti itu masih menyokong idea awal pembentukan Malaysia.
Bagi tujuan ini, katanya, parti itu harus memainkan peranannya bagi menyuarakannya untuk seluruh negara.
Beliau berkata banyak pihak menggunakan Sabah dan Sarawak untuk mempertahankan Malaysia yang “sebenar”.
“Dan ini adalah tugas Upko untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kehormat Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Batu Sumpah Keningau tidak boleh dipandang ringan kerana ia mengandungi jaminan Kerajaan Malaysia kepada Sabah.
Tiga perkara yang tertera pada plak batu itu ialah kebebasan beragama di Sabah, Kerajaan Sabah memegang kuasa ke atas tanah di Sabah, dan adat dan tradisi anak negeri akan dihormati dan dijunjung tinggi oleh kerajaan.
“Jangan main-main, ini sumpah…seorang bobolian (pemimpin ritual) melakukan ritual di atasnya.”
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya bersatu bagi memastikan kejayaan perjuangan untuk memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).