TAWAU: Golongan mualaf di negeri ini perlu diberi perhatian, khususnya dalam aspek kebajikan dan pendidikan, terhadap pendedahan agama Islam agar tidak tercicir dari arus peredaran masa, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurutnya, perhatian itu diperlukan kerana mereka memerlukan bimbingan dalam memahami ajaran Islam dengan lebih baik.
Justeru, katanya, para pendakwah dan pembimbing wajar menggunakan pendekatan yang sesuai, memiliki kemahiran dan kepakaran tertentu ketika menyampaikan penjelasan tentang agama, termasuk konsep serta prinsip dakwah Islam.
“Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia pula, pendekatan dakwah perlu sentiasa ditambahbaik agar proses pengislaman golongan mualaf diterima secara baik oleh keluarga bukan Islam.
“Para pendakwah perlu bijak memilih pendekatan bimbingan dengan mencari titik persamaan antara agama dan budaya sesuatu kaum dan etnik seperti mengaitkan isu etika dan moral dalam kehidupan beragama,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, tambahnya, para pendakwah sendiri perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik kerana mereka adalah cerminan agama kepada golongan bukan Islam mahu pun mualaf itu sendiri.
Katanya, pendekatan itu lebih berkesan untuk dilihat, direnungi, ditiru dan diikuti secara langsung oleh golongan mualaf, seterusnya mengubah pandangan negatif terhadap ajaran Islam.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Mualaf Madani yang disertai 80 mualaf di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Mualaf Negeri Sabah, Datuk Prof. Taufiq Yap Yun Hin.
Sementara itu, Taufiq berkata, program itu pertama kali diadakan di Tawau selepas siri jelajah di Keningau dan Kota Marudu pada tahun lepas.
Katanya, selepas ini pihaknya berhasrat untuk mengadakan program seminar tersebut di kawasan pedalaman pula dalam usaha memperkasakan lagi golongan mualaf di negeri ini.
Ini kerana, katanya, statistik menunjukkan Sabah mempunyai bilangan mualaf paling ramai di negara ini dan pihaknya mahukan agar golongan itu diberikan hak sewajarnya dari segi kebajikan dan meningkatkan ilmu pengetahuan Islam.