Kota Kinabalu: Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Peringkat Nasional akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada 20 April ini, dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Malaysia Datuk Azman Mohd Yusof berkata, sambutan dengan kerjasama kerajaan negeri itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sambutan Hari Raya Peringkat Nasional ini telah ditetapkan oleh pihak kerajaan pada 20 April dengan kehadiran dijangkakan seramai 20,000 orang.
“Program kali ini dianjurkan bersama dengan kerajaan negeri.
“Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin akan hadir, begitu juga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan mereka akan bertemu dengan masyarakat di tempat sambutan tersebut.
“Dijangka lebih 50 menu akan dihidangkan, dengan juadah popular mewakili makanan semua jenis kaum, termasuk warga Sabah.
“Dalam masa yang sama, kita juga ada membuat sedikit pameran yang bernama Rumah Kami, yang bertujuan mempamerkan kebudayaan masyarakat Malaysia dengan kepelbagaian kaum,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu.
Turut hadir dalam rombongan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pentadbiran) Datuk Diyana Abdullah.
Terdahulu, Juhar menerima kunjungan hormat rombongan Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Sabah yang diketuai presidennya Hilmi Satoh.