Kota Kinabalu: Kecurian kabel tembaga bawah tanah sepanjang 77 meter dikesan di Taman Farmosa, di sini, awal Sabtu.
Menurut saksi, tiga individu dikesan di lokasi, dengan dua memasuki lurang untuk menyambungkan kabel kepada sebuah kereta yang digunakan untuk menarik kabel tersebut keluar.
Biarpun dengan tindak balas segera daripada Pasukan Peronda Pencegahan Jenayah Telekom Malaysia (TM) yang dimaklumkan oleh polis dari Penampang pada 1.28 pagi, suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah van Nissan berwarna putih.
Kecurian itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan teruk kepada infrastruktur telekomunikasi malah mengakibatkan kerugian dianggarkan RM25,000.
Usaha untuk menangkap suspek sedang dijalankan, dengan pihak berkuasa menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Kecurian kabel bukan sahaja mengganggu perkhidmatan penting seperti Internet dan rangkaian telekomunikasi tetapi juga menimbulkan risiko keselamatan kepada orang awam dan pekerja telekomunikasi.