Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan serta denda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta milik Jabatan Air Sabah.
Johanes Kia Lodo Bikus mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas perbuatan mengusik serta meleraikan komponen panel suis meter di rumah pam di Takungan Nountun 2, Jalan Bantayan Minintod, Kampung Bantayan, Inanam, kira-kira jam 3.45 petang pada 24 April lalu.
Kesalahan itu dilakukan bersama seorang rakan yang masih bebas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa sepasukan polis yang bertindak atas maklumat telah melakukan pemantauan kira-kira 20 minit sebelum mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang membuka komponen di premis berkenaan.
Apabila polis menghampiri seorang suspek berjaya melarikan diri manakala Johanes ditahan di lokasi kejadian. Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa komponen telah dileraikan oleh kedua-dua suspek.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 31 tahun dipenjara keseluruhan 14 bulan serta didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki motosikal curi.
Marjin Jinur dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didapati memiliki sebuah motosikal curi jenis Yamaha 135LC milik Taufik Gesi di kawasan semak di Jalan Kampung Inanam Laut, Inanam kira-kira jam 5 petang pada 23 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua dia didapati memiliki sebuah lagi motosikal Yamaha LC curi milik Primus Odysa di Taman Sri Maju, Sepanggar, kira-kira jam 3.45 petang pada hari sama.
Mahkamah diberitahu bahawa dalam kes pertama, pemilik motosikal menyedari kehilangan kenderaannya di Kampung Delima Melayu, Manggatal pada 12 April sebelum polis menemuinya semula dalam satu operasi di Sepanggar.
Dalam kes kedua, seorang lagi pengadu melaporkan kehilangan motosikal Yamaha 135LC dari kawasan parkir Apartmen Bambangan, Inanam pada 16 April 2025.
Bertindak atas maklumat polis menahan Marjin pada 23 April lalu dan menemui motosikal curi tersebut dalam milikannya.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.