Kota Kinabalu: Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 51 guni berisi daging penyu kering seberat 765 kilogram (kg) dipercayai untuk diseludup ke luar negara, malam Selasa lepas.
Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata bagi mendapatkan jumlah daging penyu kering itu dianggarkan kira-kira 1,000 ekor penyu spesis terancam dibunuh oleh sindiket yang terlibat.
Beliau berkata dalam Op Pluto Timur dan Op Tiris di sekitar kawasan pantai kira-kira 0.5 batu nautika laut Timur Laut Kampung Tajau Laut, Kudat itu, pihak berkuasa turut menemukan 19 guni berisi balat iaitu spesis timun laut.
“Pihak kami memeriksa sebuah bot yang sedang melakukan aktiviti mencurigakan pada pukul 10.27 malam. Menyedari kehadiran pasukan Maritim Malaysia suspek bertindak meloloskan diri ke kawasan cetek.
“Aset darat dikerah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan kerana bot ronda tidak dapat menghampiri kawasan pantai,” katanya.
Beliau berkata nilai rampasan berjumlah kira-kira RM500,000 dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut serta kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana cuba menyeludup daging haiwan spesis terancam.