Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat syarikat konsesi yang menguruskan loji rawatan air (LRA) di Sabah, yang didakwa menjadi punca krisis air di negeri itu.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan untuk diteliti SPRM.
Beliau menyerahkan dokumen itu kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Jumaat, mendakwa syarikat konsesi seolah-olah mempunyai kaitan meragukan dengan kerajaan Sabah sebelum ini.
“Kita lihat terdapat kaitan yang mungkin, sebab itu dokumen diserahkan untuk siasatan lanjut,” katanya di luar ibu pejabat SPRM.
Minggu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata tindakan Parti Warisan menamatkan konsesi syarikat yang menguruskan operasi LRA semasa pemerintahannya telah memburukkan lagi krisis air di negeri itu.
Menurut Hajiji, penamatan konsesi sembilan syarikat kontraktor oleh kerajaan terdahulu bukan sahaja menyebabkan Kerajaan Negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM315 juta, malah turut menjejaskan pengurusan bekalan air sedia ada.
Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebagai maklum balas, menyatakan bahawa pentadbiran Warisan-Plus ketika itu menamatkan kontrak enam syarikat terbabit kerana “sangat berat sebelah”.
Beliau mendakwa semua kontrak itu adalah sebahagian besar daripada “skandal Jabatan Air” Sabah yang terkenal, yang perbicaraannya masih diteruskan selepas lapan tahun.