Tenom: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) akan mengadakan Jualan Rahmah dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Melalap pada Sabtu depan (19 Oktober) di Dewan Kampung Saga Tengah.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Melalap, Simon Mamat berkata program jualan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menikmati barangan keperluan harian pada harga lebih murah.
“Sebelum ini, kebanyakan program seperti ini dilaksanakan di kawasan yang lebih dekat dengan pekan, menyebabkan penduduk kampung tidak berpeluang mendapatkan barangan pada harga lebih murah.
“Selain jarak yang jauh, kos perjalanan juga perlu ditanggung,” katanya selepas mengiringi pegawai dari KPDN Cawangan Keningau yang membuat pemeriksaan di lokasi dipilih.
Simon berkata, UPPM Melalap mencadangkan agar program tersebut dialihkan ke kawasan Mukim supaya masyarakat sekitar, terutama golongan B40, dapat menerima manfaat.
Program ini dijangka berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
Simon juga menjemput agensi kerajaan yang berkaitan untuk membantu menjayakan program tersebut.