Kota Kinabalu: Christina Rui Zhang, pelajar berusia 23 tahun dari Szechuan, China, memukau penonton dengan persembahan luar biasa pada malam kemuncak dan berjaya menambat hati juri melalui pengetahuannya mengenai pemuliharaan marin, sehingga dinobatkan sebagai Miss Scuba International 2024 pada Sabtu lalu.
Rui menewaskan 17 peserta lain untuk meraih mahkota tersebut, sementara tempat kedua dimenangi oleh Dr Rachel Novak, 35, seorang Doktor Farmasi dari Amerika Syarikat. Dr Jessica Rose Higgins, 30, Pakar Robotik Pembedahan dari United Kingdom, pula meraih gelaran Naib Juara Kedua.
Sebagai seorang pelajar yang aktif berkongsi pendapat mengenai kepentingan pemuliharaan marin di media sosial, Rui mengambil langkah lebih besar dengan menyertai pertandingan ini sebagai inisiatif untuk mengetengahkan isu tersebut secara lebih meluas.
“Apabila saya mengetahui tentang pertandingan ini, saya terus tahu ia untuk saya kerana saya percaya boleh melakukan lebih banyak untuk membantu masyarakat memahami dan memberi perhatian kepada pemuliharaan marin.
“Saya sentiasa aktif di media sosial dengan memuat naik isu berkaitan pemuliharaan marin. Kemenangan hari ini memberikan saya peluang untuk terus berkongsi topik-topik pendidikan mengenai kepentingan serta cabaran semasa yang dihadapi dalam isu ini,” katanya kepada pemberita.
Rui, yang mengambil jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris, menyifatkan pengalaman dalam pertandingan ini sebagai sesuatu yang baharu dan bermakna, apatah lagi ia merupakan kunjungannya yang pertama ke Sabah.
“Ini adalah kali kedua saya ke Malaysia, tetapi kali pertama di Sabah. Perjalanan ini sangat menakjubkan kerana saya berpeluang bertemu ramai orang yang cantik, bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman.
“Kami (peserta) belajar antara satu sama lain dan melaksanakan pelbagai aktiviti bersama, yang mengajar saya banyak perkara baharu,” tambahnya.
Beliau juga berkongsi bahawa pengalaman ini telah meningkatkan penguasaan bahasa Inggerisnya di samping memberikannya pengetahuan baharu mengenai aktiviti marin sepanjang pertandingan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, serta Pengasas dan Presiden Miss Scuba International, Robert Lo.