TAWAU: Peniaga dan orang awam di daerah ini digesa merebut peluang untuk segera melunaskan tunggakan cukai masing-masing, susulan pengumuman Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas caj faedah tunggakan dan semasa bermula 1 Januari hingga Mac.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (CCCT), William Tan Boon Lian berkata, pengecualian tersebut melibatkan semua kategori harta berkadar yang dibuat MPT untuk menggalakkan sektor perniagaan dan orang awam melunaskan cukai belum dibayar.
Menurutnya, seperti diumum MPT, polisi tersebut merangkumi semua jenis hartanah yang dikenakan cukai, termasuk harta kediaman, komersil, industri, badan berkanun, serta tanah kosong di kawasan bandar dan luar bandar, tetapi tidak meliputi hartanah yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau menzahirkan terima kasih kepada MPT atas inisiatif tersebut kerana polisi itu bukan sahaja menunjukkan rasa tanggungjawab MPT terhadap kesejahteraan rakyat, tetapi juga mencipta peluang bagi perniagaan dan orang awam untuk memenuhi tanggungjawab mereka.
William percaya dengan usaha bersama semua pihak, masalah tunggakan cukai di daerah ini dapat diselesaikan, sekali gus membantu kepada pembangunan bandar Tawau.
“Sektor perniagaan perlu memberikan contoh dan kerjasama baik terhadap pelaksanaan polisi ini, memandangkan perniagaan adalah pilar utama kepada ekonomi bandar, apatah lagi melunaskan cukai adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh setiap pemilik perniagaan,” katanya.
Beliau berharap perniagaan dan organisasi berkaitan di daerah ini akan menjadi peneraju dalam menyokong usaha MPT, dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran serta pembangunan Tawau.
Katanya, Sekretariat CCCT menggesa ahli-ahlinya dan orang awam untuk merebut peluang yang jarang ini dengan melunaskan tunggakan cukai mereka dalam tempoh diskaun bagi mengelakkan denda yang lebih banyak terkumpul.
William berkata, MPT menyediakan pelbagai saluran yang mudah untuk orang awam membuat sebarang pertanyaan dan pembayaran cukai, termasuklah mengunjungi Kaunter Cukai Pintu MPT, menggunakan aplikasi perkhidmatan elektronik MPT dan berhubung dengan Jabatan Penilaian dan Harta MPT.
Manakala, bagi membuat pembayaran, mereka boleh mengunjungi laman web rasmi MPT di
http://MPTPAY.net dan menggunakan aplikasi perkhidmatan elektronik MPT atau hadir ke MPT, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan kaunter pembayaran yang ditetapkan.