Kota Kinabalu: Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bercadang untuk menubuhkan fakulti baharu dalam bidang Farmasi, Pengajian Maritim dan Sains Komputer, selain Pusat Pengajian Pembangunan dan Kursi Akademik Tun Musa Aman mengenai Pembinaan Negara dan Kajian Dasar.
Inisiatif ini diumumkan semasa kunjungan hormat Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengelola UCSF terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, Tun Dr Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, Rabu.
Pengerusi Lembaga Pengarah Uni YS Sdn Bhd merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola UCSF, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari, berkata strategi telah digariskan untuk membangunkan UCSF menjadi universiti swasta mampan yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan di Sabah dan Asia Tenggara dalam jangka panjang.
UCSF direalisasikan pada 2014 dan merupakan inisiatif Musa semasa beliau menjadi Ketua Menteri. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan Sabah.
MUSA (kanan) menerima kunjungan Shikata dan Yamashita (kiri).
“Dengan pelantikan Musa, kami berharap Sabah akan terus maju dan UCSF dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negeri dan wilayah,” katanya.
Antara Ahli Lembaga Pengarah Uni YS Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Pengelola UCSF yang hadir ialah Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun, Datuk Sam Mannan, Datuk Asnimar Sukardi, Izharudin Jalaludin dan Jeriol @ Douglas Joinol.
Sementara itu, penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun, mulai 13 April tahun ini hingga 13 Oktober tahun depan mampu mengharumkan nama negara dalam industri pelancongan antarabangsa.
“Jepun akan mengadakan Ekspo Osaka-Kansai, ia adalah ekspo dunia dan akan menjadi tempat yang sangat penting untuk Malaysia lebih dikenali di Jepun dan seluruh dunia,” kata Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki kepada Tun Musa dalam kunjungan hormat.
“Sabah berpotensi menarik pelancong Jepun. Kawasan cantik, rakyat mesra dan makanan lazat, termasuk makanan laut. Jadi, pembangunan Sabah dapat lebih dikenali dalam kalangan orang Jepun.”
Shikata berkata Sabah adalah lokasi pertama yang dilawatinya sejak dilantik tahun lalu.
“Saya tahu terdapat 30 syarikat Jepun di Sabah terutamanya dalam industri perkayuan.
“Saya fikir terdapat lebih banyak potensi untuk pelaburan baharu terutamanya dalam sektor tenaga hijau. Kami bercakap mengenai peralihan tenaga. Terdapat syarikat Jepun yang mempunyai teknologi dan penyelesaian untuk mengatasi masalah.
“Sabah juga mempunyai potensi dalam penyelidikan, termasuk biodiversiti dan hutan tropika yang diperlukan oleh pelajar Jepun,” katanya.
Shikata diiringi Konsul Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, Yamashita Yoshito.