Kota Kinabalu: Seramai 49 peserta menyertai Kursus Kejurulatihan Tinju Tahap Satu yang bermula pada Ahad di Dewan Kuliah 1, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kursus selama empat hari itu dianjurkan oleh Persatuan Tinju Sabah (SBA) dengan kerjasama Persekutuan Tinju Malaysia (MBF) dan dikendalikan oleh Paunandes Zulkiflie @ Paunandes Paulus serta Supawit Chareonsook.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden SBA Datuk Orlando Harumal, yang turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden MBF, Datuk Iruan Zulkefli, atas sokongan beliau dalam penganjuran kursus ini di Sabah.
Turut hadir ialah Naib Presiden MBF, Sawalingam Govindasamy, Setiausaha Agung Rosli Salim, serta pegawai kanan dari SBA dan MBF.
Dalam gambar, Orlando (duduk, bertopi) bersama pegawai dan peserta sebelum kursus itu bermula.