Kota Kinabalu: Pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan antara kawasan luar bandar dan bandar di Sabah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Julinus Jeffery Jimit.
Dalam acara Be in Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) baru-baru, ini beliau menekankan pencapaian negeri dalam membangunkan pelancongan luar bandar sepanjang satu dekad yang lalu.
“Pada 2014 kami diminta untuk membangunkan pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti. Dari tiada apa-apa kami berjaya membina industri bernilai RM6 juta merentasi 28 daerah di Sabah,” katanya.
Julinus menegaskan bahawa kelestarian kekal sebagai inti pati inisiatif ini dengan pembangunan pelancongan Sabah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami menggabungkan 17 SDG dalam inisiatif kami untuk memperkasakan komuniti melalui pelancongan.”
Sabah sudah lama mengutamakan pemuliharaan, katanya, dengan usaha yang bermula sejak penubuhan Taman-Taman Sabah pada 1964 iaitu sebelum pelancongan menjadi industri utama pada 1980-an.
Julinus memuji usaha pemuliharaan yang berterusan, termasuklah kemajuan Jabatan Perhutanan Sabah dalam melindungi 30 peratus hutan negeri.
“Mereka telah mencapai 26.4 peratus yang berkait dengan SDG 13 mengenai tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Negeri ini juga mempunyai enam taman laut yang meliputi kira-kira satu juta hektar yang mampu membantu melindungi biodiversiti marin dan menyumbang kepada SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air).
Taman-taman ini termasuklah Taman Pulau Tiga, Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Tun Mustapha, Taman Pulau Penyu, Taman Tun Sakaran, dan Taman Pulau Sipadan yang terkenal.
“Bagi penyelam, Sipadan adalah destinasi wajib dikunjungi, berikutan disenaraikan antara lima lokasi selaman terbaik dunia.”
Sabah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui tiga tapak Triple Crown Unesco iaitu Gunung Kinabalu, Geopark Kinabalu dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker.
“Di dalam tapak Unesco ini pelancongan digunakan untuk memberdayakan hampir 300 komuniti dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Julinus mengakui cabaran memperkenalkan pelancongan kepada komuniti luar bandar terutamanya dalam menangani ketidakpercayaan terhadap perubahan.
“Selalu ada persepsi bahawa kedatangan orang luar akan mengambil tanah mereka tetapi saya sentiasa percaya ia boleh dilakukan. ‘Impossible’ bermaksud ‘I am possible’,” katanya.
Salah satu strategi utama dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti ialah pendidikan dan pemindahan ilmu.
“Kita perlu mengajar mereka cara memperolehi manfaat yang ketara daripada pelancongan sambil mengekalkan prinsip kelestarian tiga serangkai iaitu planet, keuntungan dan manusia.”
Pendekatan Sabah dilakukan secara tersusun bermula dengan projek perintis di Kiulu (Tuaran) dan Kadamaian (Kota Belud).
“Pada mulanya ramai komuniti berkata tidak mempunyai produk pelancongan tetapi melalui bimbingan, mereka menyedari bahawa persekitaran mereka mempunyai potensi besar,” katanya.
Bagi memastikan pendekatan sistematik, STB menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan di semua 28 daerah diketuai oleh pejabat daerah.
Selain itu, sebuah jawatankuasa bersama yang melibatkan empat kementerian iaitu Pelancongan, Pertanian (bagi agro-pelancongan), Pembangunan Luar Bandar (bagi infrastruktur), dan Kerajaan Tempatan dan Perumahan (bagi pelesenan) ditubuhkan untuk memastikan pendekatan yang bersepadu.
Julinus turut menggariskan rangka kerja sembilan langkah untuk membangunkan pelancongan berasaskan komuniti termasuklah menilai kesediaan komuniti, pendidikan, mengenal pasti pemimpin tempatan, menubuhkan koperasi, membentuk perkongsian, mengamalkan pendekatan bersepadu, mereka bentuk produk pelancongan berkualiti, membangunkan strategi pemasaran dan pemantauan berterusan.
“Kegagalan untuk mendapatkan kepercayaan komuniti luar bandar boleh menjadi halangan besar namun jika melihat keikhlasan mereka lebih cenderung menerima inisiatif pelancongan,” katanya, berkongsi pengalaman di mana beliau terpaksa meyakinkan penduduk dalam dialek tempatan bagi meredakan kebimbangan mereka mengenai pencerobohan tanah.
Melangkah ke hadapan, STB menyasarkan 80 peratus inisiatif pelancongan berasaskan komuniti untuk mencapai standard Asean menjelang 2030.
“Ia bukan tugas yang mudah tetapi dengan visi yang sama dan komitmen daripada semua pihak berkepentingan saya percaya ia boleh dicapai,” kata Julinus.
Tegasnya, pelancongan perlu melengkapi aktiviti ekonomi lain seperti pertanian dan bahawa komuniti harus memahami pelbagai bidang pelancongan termasuklah pelancongan alam semula jadi, pengembaraan, warisan dan makanan.
“Kami mahu mereka menyedari bahawa halaman belakang mereka mempunyai nilai sama ada untuk pelancongan pengembaraan, pengalaman budaya atau pelancongan makanan,” katanya.
Sehubungan itu, Julinus menegaskan komitmen STB dalam menyokong komuniti melalui program peningkatan sosioekonomi, latihan dan kerjasama dengan pemimpin industri.
“Pelancongan adalah alat yang berkuasa untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dan kami akan terus berusaha memastikan luar bandar Sabah mendapat manfaat daripada pelancongan lestari,” katanya.