TAWAU: Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau ditugaskan di lokasi-lokasi strategik sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Tawau, Sam Aminudin berkata, lokasi dikenal pasti termasuk di pasar awam, pasar tani dan pasaraya bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, tindakan itu bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika, khususnya sepanjang 15 hari pelaksanaan SHMMP dari 24 Mac hingga 7 April.
Dalam masa yang sama, beliau meminta kerjasama orang ramai, iaitu sebahagian daripada gerakan massa di bawah kempen Kita Gempur, untuk memaklumkan kepada KPDN sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pihak berhubung ketidakpatuhan ke atas skim.
Katanya, butiran aduan yang lengkap boleh disalurkan menerusi WhatsApp 019-8488000; Call Centre 1-800-886-800; E-mel e-aduan@kpdn.gov.my; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
Terdahulu, Sam berkata 23 jenis barangan akan dikawal di bawah skim kali ini bagi Sabah, antaranya Daging Kerbau Import; Ikan Demuduk, Sagai, Cermin atau Cupak (berat antara 3 ekor hingga 5 ekor setiap kilogram; Ikan Kembung Termasuk Ikan Mabung (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram); Ikan Selayang (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram).
Turut dikawal, Kubis Bulat Import (Indonesia dan China Tidak Termasuk Kubis Beijing); Sawi Hijau; Timun; Tomato; Cili Merah; Kacang Panjang; Lobak Merah; Bawang Kuning Besar; Bawang Merah Besar Import; Bawang Merah Kecil India; Bawang Merah Kecil India (Ros) dan Bawang Putih (China).
Selain itu, Ubi Kentang Import (China); Halia Tua Import; Kacang Tanah; Cili Kering Kerinting; Kelapa Biji; Kelapa Parut dan Santan. Sam berkata, skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Tambahnya, harga maksimum yang ditetapkan di peringkat borong dan runcit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang sudah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. Peniaga ingkar boleh dikenakan penalti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebih harga maksimum iaitu denda sehingga RM100,000 bagi individu, atau kompaun RM50,000 dan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat.
Di SANDAKAN, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata penguatkuasaan di sini melibatkan kawasan Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tongod dan Telupid.
Dalam pada itu, Azdy menegaskan kerajaan mewajibkan peniaga menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan.
“Peniaga harus meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.
“Selain mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual, peniaga perlu memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” katanya. Azdy berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.