Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mengeluarkan amaran tegas kepada pihak yang memenggal kepala gajah pygmy Borneo di Sabah.
Menterinya Datuk Seri Christina Liew sekali lagi menegaskan bahawa sebarang perbuatan zalim dan pemburuan haram terhadap hidupan liar yang dilindungi di Sabah tidak akan diterima.
“Kami tidak akan berkompromi dalam usaha untuk memastikan pelaku dikenal pasti, didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang dan dibawa ke muka pengadilan.
“Kementerian melahirkan kebimbangan serius terhadap penemuan terbaru seekor gajah pygmy Borneo yang dipenggal kepala di Tawau kerana ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh singkat, menandakan kemungkinan berlakunya corak aktiviti pemburuan haram di negeri ini.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah melancarkan siasatan serta-merta berhubung kejadian itu. Langkah penguatkuasaan ditingkatkan, termasuk operasi bersama dan sekatan jalan raya bersama agensi keselamatan lain, sedang dijalankan di lokasi-lokasi utama bagi mencegah aktiviti haram selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Liew berkata insiden terbaru ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk terus berwaspada dan bekerjasama antara agensi penguatkuasaan, komuniti tempatan dan orang awam.
“Kami (KePKAS) menyeru semua pihak untuk berkongsi sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan terus komited dalam melindungi biodiversiti unik Sabah,” katanya.
Menteri itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa jumlah kes seumpama it dilihat semakin meningkat, terutamanya sejak suku terakhir 2024.
“Oleh itu, kami menyeru kerjasama lebih erat dan tindakan yang diselaraskan antara semua agensi penguatkuasaan, pemuliharaan dan keselamatan berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan, untuk menangani ancaman ini secara tegas dan mengelakkan kehilangan lanjut spesies yang terancam ini,” tegasnya.
Liew memberi amaran bahawa gajah pygmy Borneo adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, dan sebarang kesalahan terhadap spesies ini membawa hukuman berat termasuk denda yang tinggi dan penjara.
“Dengan anggaran populasi hanya antara 1,500 hingga 2,000 ekor yang masih hidup di habitat liar, setiap kehilangan adalah satu tamparan besar kepada usaha berterusan untuk melindungi dan memulihara spesies yang diancam kepupusan ini,” tambahnya.