KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan dua vesel nelayan asing (VNA) Vietnam untuk merompak hasil negara di perairan Kudat, di sini, petang Ahad.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, 12 nelayan warganegara Vietnam berumur antara 30 hingga 53 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah turut ditahan dalam operasi itu.
Menyifatkan kejayaan itu hasil maklumat awam, Hasbullah berkata dua aset rondaan Zon Maritim Kudat iaitu Bot Cenderawasih 10 dan Adal 04 yang sedang melaksanakan Op Khas Pagar Laut digerakkan ke lokasi berkenaan kira-kira jam 3.15 petang, Ahad.
“Sebaik tiba di kawasan sasaran kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, pasukan operasi mengesan dua VNA Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram.
“Semasa cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel, selain memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel terbabit kerana enggan memberi kerjasama ketika diarahkan berhenti,” katanya.
Katanya lagi, berlaku aksi kejar-mengejar antara bot pasukan keselamatan dengan suspek selama 15 minit sebelum anggota Maritim melompat ke atas VNA berkenaan bagi menghentikannya.
Hasbullah berkata, setelah penggeledahan dilakukan, kedua-dua bot nelayan terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat.
Katanya, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu turut menemukan kira-kira 45 kilogram balat basah serta lebih kurang 500 liter minyak diesel di setiap bot terbabit.
Suspek termasuk dua bot serta hasil laut dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63 dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan melebihi RM4 juta, tambahnya.
APMM berterima kasih kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di sekitar perairan Kudat yang sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan ini,” katanya.