WALAUPUN ramai sudah kembali bekerja, kemeriahan Syawal masih belum berakhir. Lagu-lagu raya juga masih berkumandang dan terus menjadi pilihan pendengar.
Tidak ketinggalan memeriahkan Aidilfitri kali ini ialah trio Yunk-G, Aye, dan Rachel Wesley menerusi lagu raya mereka, Be With You (Raya Remix).
Aye atau nama sebenarnya Allen Max Ambrose Mudi berkata, Be With You pada asalnya merupakan single mereka yang dikeluarkan pada 2014 dan kini hadir dalam versi raya selepas 11 tahun.
“Lagu Be With You merupakan hasil kolaborasi antara kami bertiga di bawah label muzik kami, Nubornmusic.
“Rakaman versi raya untuk Be With You sebenarnya sudah ada sejak tahun 2018 atau 2019, tetapi tidak dilancarkan ketika itu.
“Selepas perbincangan bersama Yunk-G dan Rachel, kami memutuskan untuk melancarkan semula lagu versi raya ini sebagai Be With You (Raya Remix) 2025,” katanya.
Diadun dengan elemen muzik R&B dan hip hop, Aye yang juga ahli kumpulan Prince of Pop bersama Yunk-G atau Ag Sri Iskandar Bahrin berkata, mereka berharap Be With You (Raya Remix) 2025 mampu menarik perhatian ramai pendengar.
“Sebagai komposer dan penulis lirik lagu ini, kami di Nubornmusic ingin menghasilkan muzik yang segar dan moden untuk industri muzik tempatan.
“Dari aspek susunan muzik, lirik, hingga melodi, lagu ini dirancang supaya dapat bersaing dengan lagu-lagu pop dan R&B yang ‘trending’, sambil mengekalkan identiti kami sebagai artis tempatan.
“Untuk versi raya, kami mengubah liriknya kepada tema sambutan dan suasana Hari Raya,” jelasnya.
Walaupun dia dan Rachel bukan beragama Islam, Aye berkata sambutan Hari Raya merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, saya melihat penyertaan semua pihak dalam meraikan Syawal sebagai sesuatu yang positif.
“Ia bukan sahaja menambah keceriaan suasana, tetapi juga mengeratkan hubungan antara kita, mencerminkan keharmonian yang menjadi keunikan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kolaborasi mereka bertiga pada masa akan datang, Aye berkata setakat ini mereka belum mempunyai perancangan untuk projek baharu.
“Bagaimanapun, kami berharap dapat memanfaatkan peluang di masa depan untuk kembali dengan karya yang lebih menarik,” ujarnya.