LAHAD DATU: Taraf kewarganegaraan tidak akan diberi sewenang-wenangnya dan hanya akan diberikan kepada yang layak dan memenuhi syarat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi kerajaan kepada individu.
Menjawab mengenai isu dokumentasi di daerah ini, Shamsul berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melaksanakan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi menangani masalah ini.
Katanya, melalui program ini, pegawai akan turun ke kawasan pedalaman dengan membawa kelengkapan bagi membantu rakyat menyelesaikan isu dan masalah berbangkit mengenai pendokumentasian.
“Saya tidak boleh kata boleh diberikan kewarganegaraan kerana perkara tersebut memerlukan siasatan, pemerhatian dan penelitian.
“Jadi saya meminta kepada JPN untuk turun melihat dan mereka yang layak, yang memenuhi syarat sepatutnya dibawah perlembagaan dapat kita berikan dokumen yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri Umno Bahagian Lahad Datu, Ahad.
Bercakap mengenai tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah, katanya, tahap keselamatan dalam keadaan baik dan rakyat tidak perlu bimbang memandangkan kerajaan, khususnya dibawah KDN sentiasa memastikan tahap keselamatan dalam keadaan baik.
Katanya, Eastern Sabah Security Command (Esscom) merupakan agensi yang bertanggungjawab memberikan perhatian dan melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga kawasan Pantai Timur Sabah.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab, Esscom telah melaksanakan amanah dengan baik dan tersusun.
“Sejak 15 Januari 2020, sehingga hari ini tidak ada lagi kes-kes penculikan. Namun demikian, kita terus berwaspada dan disebabkan itu kita telah melaksanakan pelbagai operasi dengan kerjasama agensi lain,” jelasnya.
Tambahnya, operasi seperti Op Sanggah dan Op Gasak untuk mengesan anasir, tali barut dan elemen jenayah rentas sempadan telah dijalankan dengan baik dengan 1.3 juta pemeriksaan telah dijalankan melalui sekatan jalan raya dan pemeriksaan bot.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul memohon agar KDN memberi keutamaan kepada kaum Dusun yang tinggal di kawasan pedalaman dalam urusan pendaftaran surat lahir dan kad pengenalan.
Sharif berkata, perkara ini adalah bagi mengelakkan mereka, termasuk golongan belia tercicir daripada akses pendidikan.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar sambutan Rumah Terbuka Umno Lahad Datu ini dapat menjadi medan untuk mengeratkan ukhwah dan menjalin silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Beliau juga berbesar hati menyambut tetamu yang hadir termasuk 22 persatuan masyarakat Cina yang menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi.