TAMBUNAN: Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) terus memperkasa sektor penanaman padi menerusi pengenalan teknologi moden di lapangan bagi meningkatkan pengeluaran dan menjamin keterjaminan makanan negeri.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata program berasaskan teknologi moden itu telah dilaksanakan di enam daerah utama pengeluar padi iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Papar, Tuaran, Tambunan dan Keningau.
“Antara pendekatan baharu yang diperkenalkan termasuk sistem pengairan pintar, jentera penanaman berautomasi serta pemantauan tanaman menggunakan dron dan aplikasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Revolusi Penanaman Padi Daerah Tambunan di Kampung Solibog, di sini, Selasa.
Menurut Jeffrey, penggunaan teknologi moden bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, malah membantu petani menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan cabaran agronomi semasa.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu, kerana peningkatan pengeluaran padi di Sabah dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan membantu Kerajaan meminimumkan kerugian tukaran asing.
“Justeru, saya berharap peruntukan tambahan dapat disalurkan bagi memperkukuh sistem pengairan dan pembelian lebih banyak jentera yang masih belum mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, usaha ini selari dengan slogan LPBS “Mekanisasi dan Pemodenan Tingkatkan Hasil Petani”, dan perancangan sedang dibuat untuk memperluas pendekatan ini secara berperingkat ke seluruh daerah di Sabah dalam tempoh terdekat.
Inisiatif ini turut disokong oleh agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pertanian dan institusi penyelidikan tempatan bagi memastikan teknologi yang diperkenalkan sesuai dengan geografi negeri dan keupayaan petani.
LPBS yakin dengan peluasan usaha ini, Sabah mampu mencapai tahap sara diri beras (SSL) yang lebih tinggi dan membawa manfaat langsung kepada petani serta pengguna di seluruh negeri.