Kota Kinabalu: Kesedaran mengenai kepentingan menderma darah semakin meningkat di Sabah, khususnya dalam kalangan belia termasuk ahli sayap Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Menurut Exco Wanita Gagasan Rakyat merangkap Pengerusi Biro Kesihatan parti itu, Dr Davina Marcus Majihi, perkembangan positif ini dapat dilihat menerusi kehadiran orang ramai dalam program derma darah yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
“Kalau kita lihat, kesedaran dalam kalangan rakyat Sabah masih rendah, terutamanya kerana ramai yang takut jarum. Tapi Alhamdulillah, dengan insentif yang kami sediakan, sambutan kali ini sangat menggalakkan. Ramai yang tampil ke depan, termasuk penderma darah kali pertama,” katanya.
Dr Davina menjelaskan antara pendekatan utama Biro Kesihatan adalah menggalakkan ahli parti sendiri untuk memimpin melalui teladan.
“Sebelum kita minta orang ramai derma darah, ahli kita sendiri perlu tunjuk contoh yang baik. Tahun lalu, kebanyakan penderma adalah golongan veteran yang pernah menderma sebelum ini. Tapi tahun ini, ramai nama baharu muncul, terutamanya dalam kalangan belia dan Beliawanis,” katanya.
Mengulas bagaimana parti meyakinkan orang ramai bahawa menderma darah adalah selamat dan dapat menyelamatkan nyawa, beliau menekankan kepentingan pendidikan berterusan kepada masyarakat.
“Kesedaran dan pendidikan yang berterusan. Sekurang-kurangnya seminggu sekali, kita perlu sebarkan mesej tentang manfaat dan keperluan menderma darah,” katanya.
Program derma darah yang berlangsung dari 26-27 Julai itu berjaya mengumpul 79 beg darah.