KENINGAU: Polis Keningau berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan orang yang menjadikan pelajar sekolah sebagai mangsa eksploitasi seks, dalam siri operasi yang dijalankan pada 24 hingga 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, siasatan mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi merekrut remaja perempuan, termasuk dua pelajar Tingkatan Dua, untuk ditawarkan kepada pelanggan di beberapa hotel sekitar pekan Keningau.
Kes terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis pada 24 Julai.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau menyelamatkan empat mangsa berusia antara 13 hingga 21 tahun, manakala lapan individu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Daripada jumlah itu, jelasnya, seorang wanita berusia 18 tahun yang dikenali sebagai “Elly” disyaki bertindak sebagai ‘ibu ayam’ telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sementara itu, katanya, tujuh suspek lain dibebaskan dan akan bertindak sebagai saksi pendakwaan.
Siasatan mendedahkan suspek mencari pelanggan melalui aplikasi media sosial dengan bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan, sebelum mangsa dihantar ke hotel yang telah ditetapkan. Sebahagian bayaran dibahagi antara suspek dan mangsa.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut dan kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.
Bagi dua mangsa bawah umur tersebut, Mahkamah telah meluluskan Perintah Perlindungan selama tiga bulan dan mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan di Ampang, Selangor sehingga 13 November depan.
Yampil berkata, polis mengingatkan masyarakat, khususnya ibu bapa, agar peka terhadap pergerakan anak-anak dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang di daerah ini.