Kota Kinabalu: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Dun, menggesa pendekatan menyeluruh bagi menangani isu buli kerana undang-undang semata-mata tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan yang berkesan.
Beliau berkata sistem sedia ada juga perlu memberi keyakinan kepada mangsa untuk tampil bersuara.
“Meskipun undang-undang wujud, tanpa penguatkuasaan ia tidak akan berkesan. Mangsa sering memilih untuk berdiam diri kerana takut akan akibatnya.
“Mesti ada sistem yang memastikan sesiapa yang dibuli berasa selamat untuk membuat laporan, dengan jaminan mereka akan dilindungi dan tindakan akan diambil,” katanya.
Azizah, yang juga pengerusi badan pemikir negeri, Institut Kajian Pembangunan (IDS), berkata pihaknya sedang mengkaji kaedah memperkukuh penguatkuasaan dan intervensi awal bagi mencegah tragedi seperti kes berprofil tinggi melibatkan Zara baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa buli boleh berlaku di sekolah, tempat kerja, dalam keluarga dan perlu ditangani di semua peringkat.
Azizah menggesa kajian holistik dijalankan untuk mengenal pasti punca buli dalam kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa di tempat kerja, selain mengesan corak tingkah laku sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Mesti ada intervensi awal supaya masalah ini dihentikan sebelum sampai ke tahap tragedi. Ia memerlukan input daripada pakar psikologi, pakar kanak-kanak dan komuniti, selain penglibatan aktif ibu bapa.
“Sekolah tidak sepatutnya menjadi medan pertempuran, sebaliknya persekitaran pembelajaran mesti selamat dan harmoni. Kanak-kanak ke sekolah untuk menikmati proses pembelajaran, bukan untuk mempersiapkan diri menghadapi konflik,” katanya.
Beliau juga mengingatkan agar tidak tergesa-gesa membuat pindaan dasar hanya berasaskan satu kes, sebaliknya sebarang perubahan mesti bersandarkan kajian terperinci dan persetujuan nasional.
Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau berkata: “Kita mahu memastikan jentera kita bersedia di peringkat akar umbi di setiap kawasan.”
Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata perkara itu sememangnya melibatkan penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing.
“Kita juga berharap wakil rakyat wanita sedia ada dikekalkan dan, insya-Allah, jumlahnya dapat ditambah,” katanya.