Sebuah bot kargo membawa muatan buah kelapa sawit ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau selepas didapati melanggar syarat sah lesen operasi.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata penahanan dan pemeriksaan terhadap bot kargo tempatan itu dilakukan di perairan Wallace Bay, Pulau Sebatik, pada Rabu malam.
“Bot itu dikesan pada kedudukan 2.1 batu nautika barat laut dari muara Sungai Tongkang melalui Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris kira-kira jam 8.20 malam,” katanya di sini, Khamis.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan tiga lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 66 tahun yang dikenal pasti sebagai nakhoda dan kru.
Pemeriksaan dokumen mendapati juragan gagal memaklumkan pertukaran kru apabila salah seorang daripada mereka tidak disenaraikan dalam daftar nama pada lesen operasi bot tersebut.
“Bot kargo dan juragan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya.
Menjawab soalan Daily Express berhubung status buah sawit yang diangkut, beliau berkata muatan itu tidak dirampas kerana mempunyai lesen sah yang diperakui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Bagi kes pelanggaran syarat lesen operasi bot kargo, siasatan diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan kompaun kerana setiap kru perlu memiliki sijil kompetensi mengendalikan bot dengan selamat.
Ariffin mengingatkan semua pemilik dan pengendali bot supaya mematuhi syarat lesen operasi kerana pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peraturan.
“Komuniti maritim perlu sentiasa peka dan memastikan semua syarat lesen dipatuhi. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan tegas diambil,” katanya.
Beliau menambah, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau pada talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.