BEAUFORT: Majlis Daerah Beaufort (MDB) menganjurkan Pertandingan Video Pendek Merdeka untuk masyarakat di daerah ini dan Membakut.
Pegawai Eksekutif MDB, Mohd Ainol Mohd Dun, berkata pertandingan ini terbuka kepada semua penduduk dalam kawasan pentadbiran majlis itu.
Video yang dihasilkan mestilah menampilkan unsur bertepatan dengan tema kemerdekaan dan memenuhi syarat yang ditetapkan. Peserta perlu mengisi borang penyertaan melalui Google Forms yang disediakan di laman sosial MDB. Video hendaklah hasil ciptaan sendiri.
“Video tidak boleh melebihi tiga minit termasuk montaj. Penghasilan video hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia (90 peratus) dan bahasa lain (10 peratus),” katanya.
Beliau berkata, penghasilan video boleh dibuat mengikut kreativiti peserta sama ada melalui lakonan, sajak, puisi, dokumentari atau lain-lain bentuk. Pertandingan ini berlangsung dari 15 Ogos hingga 30 Ogos.
Majlis menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang iaitu RM300 (pertama), RM250 (kedua) dan RM150 (ketiga), manakala tiga hadiah saguhati bernilai RM100 setiap satu.
Mohd Ainol turut memaklumkan, peserta boleh mengimbas kod QR untuk mendaftar dan menghantar hasil video. Tarikh tutup penyertaan ialah 5 September 2025. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Zulazrul di talian 016-2445806.