RANAU: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada Rabu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo, sekali gus menandakan pendakian sulung baginda ke puncak tertinggi di Malaysia.
Ekspedisi itu bermula pada Selasa apabila baginda memulakan pendakian dari Pondok Timpohon pada jam 8 pagi selepas menerima taklimat keselamatan dan laluan daripada renjer Taman Kinabalu, Julaimin.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Sebelum pendakian, bacaan doa selamat dipimpin Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar bagi memohon keselamatan dan kelancaran perjalanan Tengku Mahkota serta delegasi yang mengiringi baginda.
Sehari sebelum pendakian, Tengku Hassanal turut menerima sambutan budaya yang meriah setibanya di Kundasang apabila baginda menyertai kumpulan kebudayaan Dusun tempatan memalu gong tradisional dalam majlis sambutan.
Penduduk setempat dan pengunjung turut berhimpun bagi menyambut ketibaan baginda, dengan ramai mengambil peluang merakam gambar bersama Tengku Mahkota.
Baginda kemudian tiba dengan selamat di Panalaban pada jam 3.45 petang sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi Rabu.
Tengku Hassanal memulakan pendakian terakhir dari Panalaban pada jam 2.30 pagi dan tiba di puncak kira-kira jam 8.30 pagi dalam keadaan cuaca baik serta semangat yang tinggi.
Sebelum tiba di puncak, baginda turut mencuri perhatian di Pondok Sayat-Sayat, iaitu pusat pemeriksaan terakhir sebelum puncak, apabila baginda sempat bertindak sebagai petugas di situ, sekali gus menceriakan pendaki sebelum meneruskan pendakian.
Pencapaian itu disifatkan pihak Kesultanan Pahang sebagai mencerminkan ketahanan fizikal, disiplin dan keazaman Tengku Mahkota sepanjang ekspedisi berkenaan.
Ekspedisi itu turut menarik perhatian pendaki dan pengunjung di sepanjang laluan, dengan ramai malim gunung, porter serta pendaki tempatan dan antarabangsa mengambil peluang bergambar bersama baginda.
Walaupun menjadi tumpuan, Tengku Hassanal dilihat mesra menyapa pendaki dan melayani mereka yang mendekati baginda sepanjang perjalanan.
Selepas menamatkan ekspedisi, baginda turun menaiki helikopter dari Laban Rata dan selamat mendarat di Kundasang kira-kira jam 4 petang.
Setibanya di Kundasang, Tengku Hassanal bersama anggota rombongan dilihat membantu mengangkat pengusung bagi salah seorang anggota ekspedisi sebelum mengiringi individu itu ke Klinik Kesihatan Kundasang untuk mendapatkan rawatan.
Baginda juga dilihat secara peribadi memastikan anggota pasukan itu selamat memasuki klinik dan menerima rawatan sebelum meninggalkan kawasan berkenaan.
Anggota pasukan itu kemudian dilihat memandu pulang ke Kota Kinabalu.
Ekspedisi Mahkota Borneo disifatkan sebagai simbol keberanian, perpaduan dan penghargaan terhadap alam semula jadi, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menyahut cabaran serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Program itu juga mencerminkan komitmen Tengku Mahkota untuk mendekati komuniti setempat sepanjang ekspedisi berkenaan.