Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Hanya kepentingan negara yang akan diutamakan
Published on: Thursday, February 27, 2020
Text Size:

Hanya kepentingan negara  yang akan diutamakan
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan cuba bawa pemerintahan negara yang tidak memihak kepada mana-mana parti, dengan hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“…. Politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” kata Perdana Menteri interim dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung.

Politik, orang politik dan parti politik terlalu utamakan politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara, kata Dr Mahathir.

Ini adalah kenyataan umumnya yang pertama selepas ‘senyap’ susulan perkembangan politik tanah air hujung minggu lepas dan kemudian meletakkan jawatan perdana menteri, Isnin lepas. 

Kali terakhir kenyataan dikeluarkan selepas Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya Jumaat lepas.

Mengenai pendekatan baharunya mengenai pemerintahan negara yang menjurus kepada tidak memihak kepada mana-mana parti, Dr Mahathir berkata: “Jika diizin inilah yang akan saya cuba. Saya berdoa dan saya pohon kepada Allah SWT saya diberi petunjuk dalam usaha ini.”

Sebagai latar belakang, ramai beranggapan bahawa soal-soal berkaitan politik terlalu mendominasi negara tanpa mengira masa walaupun di luar musim pilihan raya umpamanya, berbanding banyak negara lain.

Ini memberi gambaran seolah-olah mereka terlalu taksub dengan hal-hal politik sehinggakan segala perkara mahu ‘dipolitikkan’ di sebalik negara menghadapi pelbagai cabaran termasuk dalam bidang ekonomi dan soal kesihatan ketika ini.

Dr Mahathir memulakan perutusannya yang ditujukan kepada rakyat di seluruh negara dengan memohon maaf kepada mereka kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada Isnin mengejutkan semua pihak berikutan sebelum ini beliau berulang kali menyatakan mahu kekal sebagai PM sehingga selepas Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC pada November.

Ini rentetan berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat politik di ibu negara dan Petaling Jaya yang dikaitkan dengan desas-desus cubaan untuk membentuk gabungan baharu bagi membentuk kerajaan pusat.

“Sebenarnya, saya telah janji akan meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih,” katanya.

Memberikan perspektif beliau tentang perkembangan politik kebelakangan ini, Dr Mahathir berkata peluang untuk menukar kepimpinan memang ada namun beliau berpendapat oleh kerana beliau disokong oleh kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) maka masa untuk beliau meletak jawatan belum tiba. 

“Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini kerajaan Pakatan Harapan akan gugur,” katanya yang pada Isnin turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, satu daripada empat parti komponen PH. 

Kesannya, kata beliau, jika Bersatu menyokong PAS dan Umno, ini bermakna parti-parti yang kalahlah yang akan mendirikan kerajaan yang didominasi oleh Umno sebagai parti terbesar.

“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” katanya.

Dengan menerajui gagasan PH, Dr Mahathir mengambil alih tampuk pimpinan negara buat kali kedua dengan menjadi perdana menteri ketujuh selepas pilihan raya umum pada Mei 2018 apabila PH  menumbangkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional diterajui Umno.

Dr Mahathir menjadikan usaha memerangi rasuah habis-habisan sebagai agenda utama pentadbiran PH yang diterajuinya sebelum ini ke arah memulihkan ekonomi dan pentadbiran negara, sekali gus menjulang kembali nama baik Malaysia di mata dunia.

Dalam perutusan berkenaan, pemimpin berusia 94 tahun itu menjelaskan ada banyak sebab mengapa beliau meletakkan jawatan pada Isnin.

“Saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai ‘be all and end all’ (adalah segala-galanya) adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah ‘a means to an end’ ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik, yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada (tanpa mengira) yang kalah atau yang menang,” katanya.

Berhubung usahanya untuk menyelesaikan kemelut politik sekarang, Dr Mahathir berkata beliau sedar apa yang dilakukan olehnya akan ditentang dan ditolak oleh ramai orang, namun mungkin ada yang menyokong.

“Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara,” kata perdana menteri interim itu.

Dr Mahathir berkata sebagai manusia biasa beliau tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

“Saya mohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah,” katanya dalam perutusan itu. – Bernama





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here