KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor gembira usaha mengejar dan menuntut hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah menunjukkan banyak kemajuan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.
Beliau berkata pada mesyuarat MA63 di Kuching pada 20 Jan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi memberitahunya bahawa adalah tidak adil negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa yang sepatutnya.
Hajiji berkata Perdana Menteri mengumumkan bahawa semua isu tertunggak dalam MA63 telah lulus proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan.
“Satu-satunya isu tertunggak ketika ini adalah mengenai aspek teknikal dan kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua tuntutan dipercepatkan. Terkini, kita akan melihat penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah berjalan dengan lancar pada 1 Januari 2024 bagi membolehkan Sabah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Elektriknya sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 2 Mac.
Menyentuh pencapaian Kerajaan GRS, Hajiji berkata dalam tempoh dua tahun mengambil alih tampuk pemerintahan, banyak kejayaan yang memberi apa yang terbaik kepada rakyat dan negeri, antaranya ialah pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas yang berprinsipkan Greater Say, Greater Participation dan Greater Revenue untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sabah.
“Sejak pemeteraian perjanjian ini, kita telah menandatangani beberapa perjanjian penting termasuk pembekalan gas asli kepada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) menjadikan SEC sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Sabah.
“Selain itu, Sabah juga akan memperoleh 25 peratus kepentingan penyertaan dalam loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (Samur) dan awal bulan Februari lalu, kita telah menandatangani dua perjanjian iaitu, satu, mengenai back-in option Kontrak Perkongsian Pengeluaran (atau Production Sharing Contract) telaga minyak dan gas yang memberikan “Kerajaan Negeri Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan dan kedua, memberi kita 50 peratus kepentingan penyertaan dalam telaga minyak dan gas Samarang.
“Kita akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak kepentingan penyertaan dengan Petronas,” tegasnya.