Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Bukti tuntutan Sulu tiada merit: Hajiji
Published on: Thursday, June 08, 2023
Published on: Thu, Jun 08, 2023
Text Size:
Text:
Bukti tuntutan Sulu tiada merit: Hajiji
Hajiji berkata rakyat Sabah sendiri telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat. - Foto Bernama
Kota Kinabalu: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membenarkan Malaysia mencabar penghakiman timbang tara yang dikemukakan waris kesultanan Sulu tepat, sekali gus mengesahkan pendirian kerajaan Sabah bahawa tuntutan mereka terhadap negeri itu tidak mempunyai merit.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu juga mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Advertisement
Beliau berkata rakyat Sabah sendiri telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.

“Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan itu dan berharap kerajaan Malaysia akan mengambil segala tindakan sewajarnya bagi menamatkan sebarang tuntutan itu buat selama-lamanya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Sabah, melalui Jabatan Peguam Negara, akan terus memainkan peranannya dengan Peguam Negara Persekutuan dalam menangani kes itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.  

Advertisement
Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Advertisement
Stampa telah mengeluarkan award akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia telah menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysian di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.

Justeru, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award itu adalah kekal. 

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan mengambil apa sahaja tindakan untuk mempertahankan kedaulatan negara termasuk menyaman pihak pemberi dana (funder) dan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung kes tuntutan terhadap Malaysia. 

Menurutnya, pihak berkenaan perlu membayar semula segala kos yang dikeluarkan Malaysia susulan tindakan pihak yang membuat tuntutan itu.

Beliau berkata kerajaan mempunyai asas untuk mempercayai bahawa tuntutan itu bermotifkan kewangan, yang dibiayai oleh pembiaya litigasi yang tidak berpangkalan di Asia.

“Kita melihat bahawa ini satu gerakan yang lebih kepada satu elemen untuk membuat duit dan kita tahu litigation funders akan ambil 25 hingga 30 peratus daripada jumlah (tuntutan). Itu sebabnya saya nak ingatkan bahawa ini satu serangan yang serius kepada kedaulatan negara.

“Walaupun tidak dilihat daripada elemen senjata api, tetapi kepada elemen untuk membankrapkan negara Malaysia dengan award berjumlah US$15 bilion,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Azalina berkata kerajaan Malaysia akan menentang habis-habisan sebarang gerakan dan tindakan yang dilihat sebagai mengambil kesempatan dan tidak mengikuti prosedur undang-undang dalam aspek antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan sudah mengenal pasti pihak pembiaya litigasi itu yang merupakan sebuah syarikat ternama tidak berpangkalan di Asia, dan tindakan selanjutnya sedang diambil berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Paris Selasa lalu, Azalina berkata walaupun ia merupakan ‘partial award’ namun ia amat penting memandangkan Hakim Mahkamah Rayuan itu merujuk kepada intipati yang paling penting mengapa Malaysia menentang tuntutan berkenaan.

“Kerajaan Malaysia amat konsisten mengatakan bahawa Perjanjian 1878 tidak ada di timbang tara antarabangsa… Pemberhentian bayaran yang dibuat ialah perhubungan sejarah yang bayaran dibuat sebagai sagu hati.

“Di sini pembayaran yang dibuat Malaysia terhenti disebabkan oleh keganasan yang berlaku di Lahad Datu pada tahun 2013. Jika keganasan tidak berlaku, pembayaran itu mungkin diteruskan. Ini menunjukkan bahawa fakta yang dibentangkan Malaysia begitu konsisten.

Keputusan Mahkamah Perancis itu mengesahkan bahawa klausa timbang tara itu sebenarnya tidak wujud,” katanya. 

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata kejayaan Malaysia dalam pertikaian undang-undang di Perancis berkaitan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu Selasa lepas, menjadi bukti kebenaran negara dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara. 

Zambry menambah kemenangan itu menunjukkan bahawa kes yang dibawa Malaysia adalah benar dan tepat, manakala kes yang dibawa pihak berkenaan adalah usaha yang dibuat untuk kepentingan pihak tertentu. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here