Wed, 8 May 2024

HEADLINES :


Kes pembunuhan pemandu e-hailing: Pegawai D7 tidak setuju cemar bukti terdapat dalam kereta
Published on: Saturday, January 06, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

Kes pembunuhan pemandu e-hailing: Pegawai D7 tidak setuju cemar bukti terdapat dalam kereta
TAWAU: Saksi ke-11 pada hari keempat kes bunuh pemandu e-hailing memberitahu Mahkamah Tinggi Tawau, pada Jumaat bahawa dia tidak membuat kesilapan dengan mengambil topi (barang rampasan) tanpa kehadiran pasukan forensik di lokasi.

Inspektor D7A, Inspektor Amir Aiman Abu berkata, ini kerana tiada pegawai forensik di tempat kejadian ketika itu memandangkan Bahagian Forensik PDRM Sabah berada di Kota Kinabalu.

Saksi itu menjelaskan demikian ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohammad Fakhrurrazi Ahmad terhadap jawapan ‘tidak setuju’ kepada cadangan pembelaan bahawa dia (saksi) membuat kesilapan itu.

Amir juga menjelaskan dia tidak mengganggu apa-apa kesan mahu pun barang yang terdapat di kenderaan tersebut ketika diminta penjelasan oleh Fakhrurrazi terhadap jawapan tidak setuju.

Terdahulu, saksi itu tidak setuju dengan cadangan peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin bahawa beliau cuai kerana tidak peduli apa yang berlaku dengan kereta Myvi dan fokusnya hanya mahu menunda kereta berkenaan.

Terdahulu, Amir turut tidak bersetuju dengan peguam Erveena Ansari bahawa ‘tindakannya’ memindahkan kereta Myvi daripada tempat kejadian ke Balai Polis Tawau sebelum diperiksa pasukan forensik daripada Kota Kinabalu, mencemar apa-apa bukti yang terdapat pada kereta.

Saksi memberitahu beliau hanya diarahkan untuk mengalihkan kenderaan tersebut dan barang bukti lain iaitu topi dan resit parkir kereta.

Kereta itu ditunda dari ladang ke Balai Polis Tawau oleh sebuah syarikat kereta tunda swasta.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol yang mendengar perbicaraan itu membenarkan bantahan dikemukakan pendakwaan terhadap dokumen iaitu dua laporan polis yang dikatakan dibuat keluarga tertuduh serta tertuduh dalam kes pembunuhan tersebut.

Laporan polis tersebut antara lain menyatakan tertuduh dalam kes itu didesak untuk mengaku terlibat pembunuhan berkenaan sedangkan mereka tidak terlibat sedikit pun.

Dokumen itu disebut peguambela Abdul Gani Zelika ketika pemeriksaan balas terhadap Inspektor Amir.

Fakhrurrazi berkata, bantahan itu dilakukan kerana ‘laporan polis’ tersebut tidak dapat dibuktikan apabila tiada tanda tangan atau nama pengadu.

“Ia hanya sehelai kertas yang tidak diketahui siapa membuatnya (laporan) dan sama ada versi laporan ini adalah benar serta tidak diketahui sama ada isi kandungannya adalah benar.

“Selain itu, salinan laporan polis yang sudah dikemukakan adalah Tawau/010240/23 dan bukannya salinan CTC,” katanya.

Dengan itu, katanya, adalah jelas salinan dokumen tersebut tidak boleh digunakan untuk tuntutan atau perbicaraan di mahkamah.

Bagaimanapun, Fakhrurrazi berkata pihaknya tiada bantahan terhadap satu lagi salinan laporan polis dikemukakan Abdul Gani kerana mempunyai nama dan tanda tangan pengadu.

Terdahulu, saksi ketika disoal Abdul Gani menyatakan beliau tidak pernah membaca atau melihat laporan-laporan polis terbabit yang dikatakan dibuat keluarga tertuduh dan tertuduh.

Ketika pemeriksaan semula oleh Fakhrurrazi, saksi berkata pegawai yang menyiasat kes itu adalah ASP Yusman Shahri Marinsah ketika diminta menjelaskan jawapan ‘ya’ terhadap soalan peguam bahawa beliau sehingga hari ini tidak tahu siapa membunuh mangsa, walaupun sudah selesai menjalankan siasatan.

Prosiding perbicaraan akan bersambung 22 – 26 Januari depan.

Tertuduh, bekas Ketua Staf Perisikan Esscom, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan enam tertuduh lain - Rosdi Kastam, 44, Dennis Ak Anit, 44, Fabian Runggam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan Vivien Fabian, 34 (orang awam) membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di antara 7.30 - 11.30 malam pada 13 Januari 2023.

Mat Zaki turut dituduh bersubahat dengan John Kennedy Ak Sanggah membunuh mangsa pada masa dan lokasi sama.

Dia dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan disebat tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tujuh tertuduh lain pula didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan dikenakan sebat tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai DPP Khairul Azreem Mamat bersama pasukannya terdiri daripada Rohaiza Abd Rahman; Lina Hanini Ismail; Mohammad Fakhrurrazi Ahmad dan Low Win Hui. 

Tertuduh; Rosdi diwakili Datuk Ansari Abdullah dan Erveena Ansari; Dennis (Hairul Vaiyron dan Luke Ressa Balang); Fabian (Sharata Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamad Zairi Zainal Abidin).

Vivien, John, Khairul Azman, Datuk Mat Zaki dan Mohd Azlan diwakili Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here