Sun, 19 May 2024

HEADLINES :


Tiga lemas tragedi kepala air di Lahad Datu
Published on: Tuesday, May 07, 2024
By: Azmie Lim
Text Size:

Tiga lemas tragedi kepala air di Lahad Datu
ANGGOTA bomba dan penyelamat membawa keluar mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
LAHAD DATU: Tiga ditemukan lemas manakala tiga lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian kepala air di Lembah Maksina, di sini, malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, seramai 15 mangsa dihanyutkan ketika melakukan aktiviti meredah sungai.

Ketua Polis Daerah, ACP Dzulbaharin Ismail dalam sidang media pada Isnin berkata, tiga individu terdiri daripada seorang pemandu pelancong dan dua peserta mati lemas dalam kejadian itu.

Mangsa dikenal pasti sebagai warga asing, Saleh Latani (pemandu pelancong), dan dua warga tempatan, Rosnaneh Mutahir dan Saharuddin Badaruddin.

Katanya, 12 lagi terselamat, di mana tiga daripadanya berjaya keluar sendiri dari tempat kejadian manakala sembilan lagi diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian 12 orang yang melakukan aktiviti meredah sungai terperangkap dalam banjir dan kejadian kepala air pada jam 8.30 malam.

“Bertindak atas maklumat, polis bergegas ke tempat kejadian dan menyertai operasi menyelamat bersama JBPM, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perhutanan,” katanya.

Menurut Dzulbaharin, sebelum kejadian, 11 individu menyertai aktiviti meredah sungai itu dengan bimbingan empat pemandu pelancong yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Salleh.

Dzulbaharin berkata, siasatan awal mendapati kesemua peserta adalah rakan sekerja di sebuah syarikat kelapa sawit di Lahad Datu.

Beliau difahamkan pemandu pelancong itu tidak terlatih kerana pihaknya masih tidak mengetahui latar belakang pemandu pelancong itu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati aktiviti meredah sungai itu tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada Jabatan Perhutanan atau JBPM.

Balai Polis Tungku juga tidak dimaklumkan mengenai kegiatan itu.

Beliau berkata, aktiviti meredah sungai di kawasan itu telah ditangguhkan oleh Jabatan Perhutanan berikutan laluan mencabar dan sukar dikawal.

Katanya, aktiviti tersebut memerlukan peserta berjalan dan berenang dalam air. Peserta juga mesti memakai jaket keselamatan dan perlu dibantu dengan tali dan lain-lain.

“Kawasan ini sangat mencabar kerana kedua-dua belah laluan adalah batu seakan-akan dinding dan jika berlaku kejadian kepala air, tiada tempat untuk melarikan diri.

Kawasan ini juga di bawah kawasan Hutan Simpan Silabukan.

“Notis telah diletakkan untuk menghalang orang ramai daripada memasuki hutan simpan itu, namun masih terdapat pengusaha pelancongan yang menjalankan aktiviti tersebut,” katanya.

Justeru, Dzulbaharin menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa menjalankan aktiviti mencabar seperti meredah sungai dan mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan.

“Berhati-hati semasa menjalankan aktiviti air dan sedar tentang bahaya seperti kepala air.

“Dapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan kerana memasuki hutan simpan tanpa kelulusan adalah satu kesalahan, dan maklumkan kepada kami (polis),” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kejadian pada jam 8.28 malam.

Panggilan itu dibuat oleh mangsa yang berjaya keluar dari tempat kejadian sendiri.

“Pasukan itu tiba di tempat kejadian pada jam 9.36 malam dan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap segera dilakukan bersama Polis, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Kami berjaya membawa keluar sembilan mangsa terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita pada tengah malam.

“Tiga jasad mangsa yang ditemui tertimbus di bawah kayu balak berjaya dibawa keluar pada pukul 12 tengah hari ini (Isnin) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, sambil menambah operasi tamat pada pukul 1 tengah hari.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here