Mon, 20 May 2024

HEADLINES :


Kerjasama PBS-Star tidak ancam kestabilan GRS
Published on: Tuesday, May 07, 2024
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

Kerjasama PBS-Star tidak ancam kestabilan GRS
Ruslan dan Matbali
BEAUFORT: Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam menafikan desas-desus bahawa kerjasama parti itu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bakal memberi ancaman kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang juga Adun Lumadan berkata, kerjasama politik itu bertujuan mengukuhkan kefahaman antara kedua-dua parti khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Pada masa sama, katanya, ia bertujuan mengelak berlaku pertembungan sesama sendiri calon dari PBS dan Star sebagaimana yang pernah berlaku pada PRN sebelum ini.

“Itu yang kita (PBS/Star) cuba murnikan (melalui kerjasama ini) supaya perkara sama tidak lagi berlaku pada PRN17 akan datang, sekali gus mengukuhkan kedudukan GRS, khususnya di kawasan bukan islam.

“Justeru, dakwaan segelintir pihak ini jelas tidak masuk akal, sebaliknya kerjasama ini sebenarnya dapat memantapkan lagi kekuatan GRS, seterusnya kekal menerajui Sabah selepas PRN17 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sambutan Riang Raya Aidilfitri Bersama Pemimpin di Dewan Sri Dayang Lumadan, di sini, Ahad lepas.

Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (Sabah), Datuk Matbali Musah.

Pada April lalu, PBS dan Star menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang PRN17 Sabah.

PBS dan Star Sabah yang masing-masing mempunyai tujuh dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan parti komponen dalam GRS bersama dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Usno, Harapan Rakyat dan LDP.

Susulan itu, timbul desas-desus kononnya kelebihan dimiliki PBS/Star yang dominan di kawasan bukan bumiputera Islam itu bakal memenangi lebih banyak kerusi pada PRN17 berbanding parti bumiputera Islam lainnya dalam GRS.

Segelintir pihak mendakwa kemungkinan berlaku perpecahan undi yang besar di kawasan bumiputera Islam akibat pertembungan parti-parti Islam antara GRS dan pembangkang hingga menyebabkan tiada parti yang menang dominan.

Sementara itu, Matbali (GRS) menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak masuk akal” kerana ia jelas satu cubaan untuk merosakkan kestabilan GRS sebagai gabungan dominan politik Sabah.

Beliau berkata, sedangkan hakikat kerjasama itu bertujuan mengelak pertembungan sesama sendiri yang hanya menyebabkan kerugian kepada kedua-dua parti, dan khususnya GRS.

“Kerjasama ini bukan satu ancaman, sebaliknya akan memperkukuhkan lagi kekuatan GRS, seterusnya kekal menerajui pentadbiran Sabah selepas PRN17, di bawah (Ketua Menteri) Datuk Seri Hajiji Mohd Noor,” tegasnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here