Sun, 19 May 2024

HEADLINES :


Esscom tahan 37 individu dalam Ops Bersepadu
Published on: Tuesday, May 07, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

Esscom tahan 37 individu dalam Ops Bersepadu
ANTARA individu diperiksa.
KALABAKAN: Seramai 37 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Pos Pemeriksaan Darat (RCP) Kalabakan yang dilaksanakan selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu (3 dan 4 Mei) lalu.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), DCP Datuk Victor Sanjos berkata, 26 daripadanya ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, 10 lagi individu ditahan polis Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta merampas dadah seberat 5.22 gram.

Manakala, seorang individu ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) yang merampas 1,750 liter minyak diesel serta sebuah Toyota Hilux atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Menurutnya, dalam operasi sama, pihak Jabatan Pangangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 17 saman dan lapan notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, operasi membabitkan 85 pegawai dan anggota itu memeriksa 400 kenderaan dan 832 individu.

“Operasi bersepadu ini yang dilaksanakan di sekitar Kalabakan bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PTI). 

“Operasi juga dilaksanakan bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain, khususnya di pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar kawasan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Victor menzahirkan penghargaan terhadap semua yang terlibat operasi itu, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am.

Begitu juga dengan JIM, KPDN, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, JPJ Daerah Tawau, Jabatan Perhutanan Wilayah Tawau dan Majlis Daerah Kalabakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan operasi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi Sanggah Esscom dalam memperkasakan operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di Esszone.

Katanya, perkara itu selaras dengan hasrat Esscom iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal.

Tambahnya, Esscom juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di Esszone bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di Esszone ke Pusat Operasi Esscom di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here