Tuaran: Kerajaan meluluskan peruntukan RM2.2 juta tahun ini bagi membangunkan dua projek baharu yang bertujuan memelihara dan melindungi warisan budaya Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata dua projek itu - Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri dan Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan - telah diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“RM2 juta diperuntukkan bagi projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri manakala Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan melibatkan peruntukan RM200,000,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Bajausama Sabah, di sini, Rabu.
Beliau berkata projek pemetaan itu bertujuan untuk memodenkan sistem pengurusan maklumat budaya etnik Sabah, yang selaras dengan Pelan Pendigitalan Kerajaan.
“Kajian restorasi itu pula akan melibatkan pembinaan semula bangunan bersejarah – Pejabat Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (NBCC) yang musnah akibat kebakaran.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk memulihara dan melindungi tapak serta bangunan bersejarah, selain menjadi galeri seni budaya yang penting di Sabah.
“Kedua-dua projek baharu ini dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.”
Hajiji juga berkata Kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah, yang dijangka mencecah tiga juta tahun ini.
Beliau berkata selain kesenian dan kebudayaan, produk pelancongan seperti pelancongan berasaskan komuniti juga merupakan segmen eko-pelancongan yang semakin mendapat perhatian daripada pelbagai peringkat masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Beliau juga menggesa persatuan kumpulan etnik di negeri ini untuk terus membangun dan memartabatkan budaya etnik serta produk pelancongan berasaskan komuniti di kawasan masing-masing, di samping bekerjasama memperkasakan keistimewaan serta keunikan warisan budaya Sabah.
“Keunikan dan kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan bangsa Sabah adalah aset penting sebagai tarikan pelancong, dan perlu dipelihara dan dilindungi sebagai simbol kehalusan adab negeri,” katanya.
Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah (PRBSS) berharap Festival Kebudayaan Bajausama Sabah yang berlangsung selama empat hari sejak Ahad lalu menjadi medan untuk memulihara khazanah budaya negeri ini.
“Ia juga sejajar dengan objektif penganjuran festival ini – untuk memelihara dan memartabatkan budaya tradisi serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk tempatan.
“Festival ini yang telah pun dimasukkan dalam kalendar pelancongan bukan sahaja dihadiri masyarakat Bajausama, malah turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata festival itu juga sebagai medium menarik minat generasi muda untuk melibatkan diri dalam pelbagai acara kesenian dan kebudayaan Bajausama.