Mon, 17 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

EMCEE’R kata Kopisanangan
Published on: Saturday, May 25, 2024
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

EMCEE’R  kata Kopisanangan
EMCEE’R membawa misi untuk melestarikan kekayaan bahasa dan kebudayaan negeri ini menerusi lagu-lagu mereka.
KOPISANANGAN! Itu kata tujuh anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai EMCEE’R.

Ia juga judul lagu terbaru yang dipertaruhkan oleh kumpulan pop / hip hop dari Sabah itu sempena sambutan Pesta Kaamatan.

EMCEE’R yang membawa misi untuk melestarikan kekayaan bahasa dan kebudayaan negeri ini menerusi lagu-lagu mereka, dianggotai oleh Mozams, Kerakal, YrNizz, Trophy, Barou, Koel dan Kalses.

Kalses berkata Kopisanangan, yang berasal daripada bahasa Dusun bermaksud Selamat Sejahtera, mencerminkan harapan kumpulan itu untuk memperkenalkan diri mereka kepada audiens yang lebih ramai.

Ditubuhkan pada hujung tahun 2023, EMCEE’R membuat kemunculan pertama mereka menerusi lagu Kalangadan. 

Sejak itu mereka sudah muncul dengan enam lagu, termasuk Kopisanangan yang dilancarkan dua minggu lalu.

Kalses atau nama lengkap Haikal Haziq berkata Kopisanangan ditulis dan dihasilkan sepenuhnya oleh anggota-anggota EMCEE’R.

Yang menariknya, ia menampilkan tiga bahasa iaitu Dusun, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Bahasa Dusun merupakan medium utama dalam pembawaan lagu-lagu kami dan disertakan bahasa Melayu, Inggeris dan Rungus dengan konsep yang moden.

“Ini adalah cara kami untuk melestarikan kekayaan bahasa dan budaya kita di Sabah khususnya bahasa Dusun dalam lirik lagu kami.

“Oleh itu, kami harap Kopisanangan mampu menghiburkan lebih ramai pendengar serta mesej yang kami mahu sampaikan menerusi bait lirik kami masing-masing boleh didengar dan difahami oleh masyarakat sama ada di dalam atau luar negeri.

LAGU Kopisanangan menampilkan tiga bahasa iaitu Dusun, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Melalui lagu Kopisanangan, kami turut berharap ianya dapat menarik perhatian pendengar baharu untuk menemui karya-karya kami yang lain,” katanya kepada Hiburan Ekspres

Uniknya lagi, kata Kalses, idea pembikinan lagu Kopisanangan muncul pada hujung 2023 sewaktu mereka sedang bercuti bersama di kampung halaman YrNizz di Ranau.

YrNizz merupakan satu-satunya ahli wanita dalam kumpulan itu. 

“Semua ahli EMCEE’R mencapai kata sepakat untuk bersama-sama menulis lirik bagi digabungkan dalam penghasilan lagu ini beserta pencarian melodi, instrumental dan sebagainya.

“Kami turut bersyukur apabila proses rakaman dan penghasilan video muzik Kopisanangan berjalan lancar dengan hasil bantuan daripada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Bercakap tentang penubuhan EMCEE’R, Kalses berkata sebelum ini mereka menggunakan nama MicRosak sejak 2016 yang tertumpu kepada genre hip hop.

“Idea untuk muncul dengan EMCEE’R kerana kami ingin membawa nafas baharu dalam muzik kami ke arah penggabungan genre seperti pop dan hip hop.

“Nama EMCEE’R sebenarnya adalah sebuah akronim ‘MCR’ yang berasal daripada nama asal kumpulan kami iaitu MicRosak.

“Perkataan Emcee juga boleh merujuk kepada istilah yang diberikan untuk seorang rapper dalam kebudayaan hip hop,” katanya.

Selain keunikan menggabungkan pelbagai bahasa dalam karya mereka, Kalses berkata kumpulan itu ingin lagu-lagu mereka dapat dinikmati oleh setiap lapisan umur dan berbilang kaum.

“Pembawaan lagu-lagu EMCEE’R lebih cenderung ke arah rentak ‘uplifting’ yang rancak dan memberikan pesanan positif yang amat berkait dengan kehidupan sehari-harian masyarakat. 

“Konsep moden ditekankan dalam penggubahan lagu namun masih mengekalkan bahasa tempatan Sabah menerusi penulisan lirik. 

“Bahasa Dusun dijadikan sebagai bahasa dominan dalam setiap lagu kami yang turut diiringi bahasa Melayu, Rungus dan Inggeris. 

“Lagu-lagu yang kami hasilkan juga bersifat lebih terbuka dan tidak mempunyai perkataan atau unsur-unsur kasar yang menjadi antara kelebihan kami, jadi lagu kami dapat dinikmati oleh setiap lapisan umur dan masyarakat berbilang kaum,” katanya lagi.

Berharap kehadiran mereka dalam arena seni menerima sokongan padu, Kalses mengakui EMCEE’R mengintai peluang untuk memperkenalkan kumpulan itu di luar Sabah.

“Sudah tentu kami juga ingin dikenali di dalam dan luar negeri Sabah, malahan juga secara global sekiranya ada rezeki. 

“Kami berharap semakin ramai orang akan mengenali kewujudan EMCEE’R dan memberi sokongan padu agar kami terus membuat persembahan dan menghasilkan karya-karya seni muzik tempatan,” katanya mengakhiri perbualan. 

Video muzik Kopisanangan boleh ditonton menerusi akaun YouTube EMCEE’R.

 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here