Mon, 17 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

RM99.05 juta untuk subsektor ternakan Sabah
Published on: Saturday, May 25, 2024
Text Size:

RM99.05 juta untuk subsektor ternakan Sabah
HAJIJI menyaksikan penyerahan dividen RM3 juta oleh Pengerusi Kumpulan Desa, Brig Gen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah kepada Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada majlis itu.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM99.05 juta untuk subsektor ternakan bagi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan 43 projek pembangunan, yang bertujuan meningkatkan keterjaminan makanan berasaskan ternakan berkualiti.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai program juga dilaksanakan bagi membantu pengusaha dalam industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan pada tahun ini. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memastikan peranan sokongannya dalam menyediakan  kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik bagi menyokong agro-integrasi bekalan rantaian nilai makanan.  

“Kerajaan juga akan memastikan semua syarikat berkaitan dengan kerajaan  (GLC) yang terlibat dalam sektor pengeluaran agro-makanan akan saling melengkapi untuk mencapai sinergi  yang optimum,” katanya pada majlis Malam Apresiasi Desa 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat. 

Hajiji berkata, syarikat kumpulan Desa mencapai pertumbuhan perniagaan stabil dengan kedudukan kewangan yang kukuh sejak 2012, melalui pelaksanaan pelbagai pemulihan perniagaan dan strategi penstrukturan semula kewangan yang sebahagian besarnya dibiayai oleh rizab tunai yang dijana secara dalaman. 

“Saya percaya ini adalah hasil pengurusan dana dan perancangan strategik yang sangat berkesan dan cekap oleh lembaga dan pengurusan Desa. 

“Desa kekal bergerak maju dalam pemodenan dan pembangunan perniagaan serta dapat memberi pulangan positif kepada pelaburan pemegang saham. Sehingga kini, Desa telah memberi dividen sebanyak RM30.5 juta kepada Kerajaan Negeri,” katanya. 

Menurutnya, syarikat kumpulan Desa memainkan peranan penting dalam mengubah sektor pertanian Sabah, terutama subsektor ternakan menjadi sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Beliau percaya, kejayaan Desa mengambil alih Projek Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) pada Julai 2021, dapat membantu menerajui industri ruminan di negeri ini.  

Katanya, Desa antara pengeluar utama ayam dan susu segar di Sabah perlu terus meningkatkan produktiviti dan menghasilkan produk berkualiti, mengembangkan kapasiti pengeluaran serta teknologi penternakan moden untuk menyokong ternakan ayam dan ternakan yang intensif serta mampan di negeri ini. 

“Saya percaya ia dapat dilakukan kerana Desa telah melaksanakan projek pemodenan infrastruktur dan fasiliti pengeluaran di beberapa premis Desa dalam perniagaan ternakan unggas, dengan kos sebanyak RM18 juta sejak lima tahun lalu. 

“Antaranya ialah penambahbaikan fasiliti kilang penyembelihan ayam di Lok Kawi, pembinaan semula dan penambahan kandang ayam moden di Kabang, Papar, pembinaan perumahan/kuarters baharu untuk pekerja ladang di Bongawan, selain pemodenan kandang ayam,” katanya. 

Hajiji berkata, Desa juga meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil ternakan tenusu dan agropelancongan di Mesilau dengan melaksanakan projek pembinaan tambahan kandang lembu tenusu, dengan kos RM8 juta yang dilengkapi dengan peralatan moden bagi memastikan “animal welfare” dan “cow comfort” terjaga, dengan muatan sehingga 200 ekor lembu.  

Menurutnya, perancangan pembangunan “New Farm Shop” dan penambahan kawasan aktiviti pelawat serta tempat letak kereta untuk memastikan kemudahan pelawat ke Desa Dairy Farm dengan belanja sebanyak RM7.8 juta dapat menampung lebih ramai pelawat yang berkunjung ke kawasan itu. 

Beliau juga mahu Desa terus melaksanakan strategi perniagaan efektif untuk meningkatkan jualan, menambah nilai jenama Desa dari segi pemasaran, peruncitan dan kepelbagaian produknya, termasuklah membuka lebih banyak kedai Desa Fresh Mart (DFM) di negeri ini bagi membolehkan produk Desa dipasarkan dengan lebih meluas kepada pelanggan dan pengguna.  

Katanya, sejak 2020, lima premis DFM dibuka iaitu di Kota Belud, Ranau, Papar, Tuaran dan Sulaman, manakala di Kudat akan dibuka pada hujung bulan ini, sementara di Beaufort dan Tenom pada tahun ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 20 kedai DFM, termasuk satu dairy kiosk (Desa Moo) di Imago Shopping Mall. 

Hajiji berharap Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kumpulan Desa terus membantu dalam membangunkan industri pertanian, khususnya pembangunan agromakanan di Sabah, selain terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam membantu kebajikan pekerjanya. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here