Wed, 22 May 2024

HEADLINES :


Ranau kini bersambung Grid Sabah
Published on: Monday, January 15, 2024
By: Clarence Dol
Text Size:

Ranau kini bersambung Grid Sabah
MASIDI (tengah) bersama (dari kiri) Abidin, Madius, Abdul Razak dan Mohd Yaakob menanam pokok sebagai simbolik perasmian PPU Lingkudou.
RANAU: Ribuan penduduk daerah ini bakal menerima bekalan elektrik lebih baik dengan perasmian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Lingkudou 33/11Kv dekat sini, pada Sabtu.

Pelancaran rasmi PPU Lingkudou disempurnakan oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, disaksikan kepimpinan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pemimpin lain di sini.

Antara yang hadir pada majlis itu termasuk Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dan Adun Dilantik Datuk Amisah Yassin.

Dalam ucapannya, Masidi memberi penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam memastikan projek PPU Lingkudau dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Pembinaan PPU Lingkudou memberi impak sangat tinggi kepada penduduk setempat kerana ia bertujuan menyediakan bekalan elektrik yang lebih dipercayai dan stabil. Kini bekalan elektrik ke Ranau adalah melalui grid dan tidak lagi bergantung kepada stesen janakuasa yang menggunakan diesel.

“Pembinaan PPU ini juga bertujuan menyediakan kapasiti elektrik untuk pembangunan masa hadapan bagi meningkatkan lagi ekonomi di kawasan Ranau,” katanya.

Masidi yang juga Adun Karanaan berkata, demi bekalan elektrik yang lebih mampan untuk penduduk di kawasan sekitar, projek ini dikenal pasti sebagai antara projek berimpak tinggi.

“Ini akan memperkukuh sistem pengagihan elektrik di daerah Ranau dan dengan siap sepenuhnya PPU Lingkudou, ia akan dapat menampung permintaan bekalan elektrik di daerah ini dan seterusnya membantu pembangunan ekonomi penduduk di kawasan Ranau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat mendapat bekalan elektrik yang mencukupi, boleh dipercayai, cekap, berpatutan dan selamat.

“Justeru, peranan SESB amat penting sebagai pemangkin yang bertindak sebagai penjana ekonomi kepada negeri Sabah khususnya melalui agenda Sabah Maju Jaya dan memenuhi peranannya sebagai pemaju dan pembekal tenaga elektrik untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kemajuan kemudahan bekalan elektrik di Ranau juga secara tidak langsung membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka seiring dengan daerah lain yang lebih maju di negeri Sabah.

“Pendek kata, dengan bekalan elektrik yang lebih mampan dan boleh dipercayai, semua aktiviti dipermudahkan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan asas ini dan bagi kerajaan, penyediaan bekalan elektrik ini adalah satu kewajipan sosial.

Masidi menambah, untuk mencapai tadbir urus yang baik dalam bekalan elektrik melibatkan kerjasama antara badan kerajaan, pihak berkuasa kawal selia, pembekal elektrik dan pengguna.

Kesan sinergi daripada usaha kolaboratif ini, katanya, memastikan sektor elektrik beroperasi dengan berkesan, sekali gus memenuhi keperluan penduduk.

“Memandangkan kerajaan negeri telah menggubal enakmen bekalan elektrik sendiri, adalah penting untuk kita memastikan tadbir urus bekalan elektrik di Sabah lebih terbuka, adil dan bertanggungjawab.

“Justeru, aspek tadbir urus perlu diperkasakan selaras dengan pembangunan sektor bekalan elektrik yang merangkumi penambahbaikan rangka kerja dan sistem perundangan, infrastruktur, pemasaran dan penggunaan tenaga elektrik.

“Saya berharap SESB akan terus berkembang di bawah peraturan baharu bermula Januari 2024. Sebagai pembekal elektrik utama di Sabah, SESB memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, bangunan PPU yang dirasmikan dalam majlis itu akan memberi anjakan baharu kepada sistem bekalan elektrik di Ranau yang sebelum ini hanya bergantung pada janakuasa diesel.

“Mungkin ada antara kita tidak tahu daerah ini sudah berpuluh tahun tidak disambungkan ke grid.

“Justeru, dengan pembinaan dan operasi PPU ini, proses penyambungan talian bekalan elektrik di Ranau ke Grid Sabah kini boleh mula dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Tambah Madius, pembinaan projek PPU Lingkudau telah dimulakan pada 29 Disember 2020 dengan peruntukan kira-kira RM30 juta.

“Bagaimanapun, projek membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat di atas tapak seluas 0.766 ekar telah melepasi tarikh jangkaan siap pada 22 Jun 2022.

“Tempoh pembinaan projek ini kemudiannya dilanjutkan selama 12 bulan. Terima kasih kepada Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) selaku penyelia projek, kerana PPU ini akhirnya siap dan telah ditauliahkan pada 10 Januari 2024,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, talian elektrik disambungkan ke Grid melalui Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Belud ke PPU Lingkudau melalui talian interim 33kV.

Talian sementara ini, dia berkata, akan terus membekalkan tenaga sehingga PMU Ranau siap pada September 2025.

“SESB akan terus berusaha untuk memenuhi agenda kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat bekalan elektrik yang mencukupi, boleh dipercayai, cekap, berpatutan dan selamat.

“SESB akan terus berfungsi sebagai pemangkin kepada penjana ekonomi negeri Sabah, khususnya melalui agenda Sabah Maju Jaya, seterusnya memenuhi peranannya sebagai pemaju dan pembekal tenaga elektrik untuk Sabah dan juga Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Dato’ Abdul Razak Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, dan Pengarah PPKBES Sabah, Ir Ismail Hashim.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here