KOTA BELUD: Masyarakat Iranun digesa agar terus memastikan generasi baru mereka mendapat pendidikan sehingga ke menara gading, supaya mampu mengimbangi perubahan zaman yang begitu cepat bergerak.
Presiden Usno yang juga merupakan Timbalan Presiden PGRS, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tiada cara lain untuk mendapatkan penghormatan dan pengiktirafan dunia selain daripada melalui pendidikan.
“Di perkampungan Iranun sekarang khususnya di Kota Belud, setiap sebuah rumah telah melahirkan sekurang-kurangnya seorang anak yang berkelulusan diploma. Ini bermakna pencapaian kita dalam pendidikan boleh dibanggakan.
“Bahkan dalam masa yang sama, dalam kelompok masyarakat kita yang minoriti ini, anak-anak Iranun telah membuktikan diri sebagai antara yang unggul apabila menduduki jawatan-jawatan penting dalam sektor awam dan swasta,” ujarnya