RANAU: Kejohanan Golf Penyelaras KDCA Ranau 2026 yang berlangsung selama dua hari di Kelab Golf Pasir Putih (PPGC), Ranau berjaya menghimpunkan 120 pemain dari sekitar daerah dan luar Ranau, sekali gus menjadi platform mengeratkan silaturahim dan mengeratkan perpaduan masyarakat melalui sukan.
Kejohanan yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.36 Kundasang dan Pengerusi Penyelaras KDCA Ranau.
Turut menyertai kejohanan itu ialah Dr Joachim sendiri, Pengerusi Sabah Credit Corporation (SCC) dan Adun N.38 Paginatan Datuk Rusdin Riman, Pengerusi Air Jetama Datuk Abidin Madingkir, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Presiden PPGC Juis Konsuling.
Berucap pada majlis penutup dan penyampaian hadiah, Dr Joachim berkata penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja medan untuk beriadah dan bersukan sihat, malah menjadi wadah penting dalam mengeratkan hubungan persaudaraan, semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Beliau berkata, semua ahli golf dan pemain golf PPGC di daerah Ranau dialu-alukan untuk menyertai Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Ranau tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang, demi memupuk semangat kekitaan dan meluaskan jaringan persahabatan dalam masyarakat.
“Penyertaan dalam KDCA bukan sahaja melibatkan aktiviti sosial dan kebudayaan, tetapi juga membuka ruang kepada ahli untuk meluaskan jaringan silaturahim, mengukuhkan semangat kekitaan, memupuk perpaduan masyarakat dan bersama-sama memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun,” katanya.
Beliau turut berharap kejohanan itu dapat terus dianjurkan pada masa hadapan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja menggalakkan budaya sukan sihat, malah menjadi medium untuk menyatupadukan masyarakat melalui semangat kekeluargaan, persahabatan dan persefahaman.
Pada kejohanan itu, Mohd Firdaus Francis muncul juara keseluruhan selepas mempamerkan aksi cemerlang menamatkan saingan dengan 69 pukulan.
Dalam kategori nett terbuka pula, Khamirrol Juhailin muncul juara selepas meledak 69 pukulan, diikuti Azlee Sayun di tempat kedua dengan 70 pukulan, manakala Narius Luis menduduki tempat ketiga dengan 71 pukulan.
Turut berada dalam kumpulan terbaik ialah Yusak Gopog, Gopol @ Deimi Yangkui, Tuvin Siong dan Amran Marjun yang masing-masing mencatat 71 pukulan.
Bagi kategori nett senior, Mohd Imran Pomin muncul pemenang dengan 71 pukulan, diikuti Simon Har di tempat kedua juga dengan 71 pukulan, manakala Jarius Titin menduduki tempat ketiga selepas mencatat 72 pukulan.
Dalam kategori nett super senior, Koch @ Kohadie Watiman mengungguli saingan dengan 72 pukulan, menewaskan Haji Amran Muntu di tempat kedua dengan 73 pukulan dan Abdullah Keroon di tempat ketiga dengan 73 pukulan.
Sementara itu, bagi kategori nett wanita, Imelda Samin muncul juara dengan 76 pukulan, diikuti Datin Buhaseh Sakunir di tempat kedua dengan 79 pukulan, manakala Lucy Butit melengkapkan tiga terbaik dengan 71 pukulan.
Kategori VIP Nett menyaksikan PPM Donis Sany unggul selepas mencatat 71 pukulan, diikuti Jauteh Dikun dengan 71 pukulan dan Adrian Alang ketiga, juga dengan 71 pukulan.
Bagi kategori gross terbuka, Gaery Doupin menamatkan saingan sebagai juara dengan 77 pukulan, diikuti Victor Jarius dengan 78 pukulan dan Saianin Amin dengan 81 pukulan.
Kategori lain yang turut dipertandingkan ialah gross super senior, gross wanita dan nett jemputan.